Tampilkan postingan dengan label pembantu rumah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label pembantu rumah. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 17 Agustus 2013

Suri Rumah Didakwa Pukul dan Dera Amah dengan Air Panas

CHAI Eng Fong didakwa atas pertuduhan mendera pembantu rumah warga Indonesia, Maria Roberta Sian (gambar kecil) di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, semalam.

[UM] PETALING JAYA 16 Ogos - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan memukul serta menyimbah air panas terhadap mangsa ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, Khamis lalu.

Chai Eng Fong, 40, turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu memperdagangkan seorang wanita berusia berusia 30 tahun bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa dengan cara menggunakan kekerasan dan paksaan.

Ibu kepada empat anak yang berusia antara 10 dan 17 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Eng Fong didakwa dengan niat mendatangkan cedera parah terhadap Maria Roberta Sian dengan memukul dan menyimbah air panas sehingga menyebabkan kecederaan di muka, kepala, telinga, kedua-dua payu dara, belakang badan serta paha.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di rumah tertuduh di No. 5, Jalan U5/84, Subang Bestari, Shah Alam, dekat sini kira-kira pukul 7 petang, 8 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah jambu dan berseluar jeans pendek dilihat tenang sepanjang prosiding. Hanya suami tertuduh dilihat hadir di galeri awam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang mengendalikan pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh tetapi sekiranya mahkamah cenderung membenarkannya, beliau mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau memberitahu, jumlah tersebut tidak membebankan tertuduh kerana keluarga wanita itu mempunyai perniagaan besi.

Zhafran Rahim juga memohon agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Peguam T. H. Goh yang mewakili Eng Fong pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan dengan mengambil kira syarat tambahan yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Hakim Rozina Ayob kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Beliau juga memerintah tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sebagai syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 September ini.

Peguam Rosal Azimin Hamad hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Kedutaan Indonesia.

Memetik laporan akhbar, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah majikannya di Subang Bestari, dekat sini pada 8 Ogos lalu selepas menjadi mangsa dera sejak lapan bulan yang lalu.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama dengan bantuan orang awam.

Pembantu rumah itu yang mengalami luka, lebam dan kesan parut di seluruh badan mendakwa majikan wanitanya itu memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki dan objek seperti berus lantai.

Menurut mangsa, majikannya itu memukulnya kerana tidak berpuas hati dengan cara dia menjalankan kerja rumah. -16/8/13


P/s: Gila kejam!!!




Kamis, 04 Juli 2013

Amah Saji Teh Campur Air Kencing



[HM] Hong Kong: Kerana tidak tahan dipaksa bekerja dengan teruk, seorang pembantu rumah menyajikan air teh yang dicampurkan dengan air kencingnya dan air bekas basuh baju kepada majikannya.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pembantu rumah berusia 22 tahun itu ditangkap selepas majikannya menyedari bau ganjil pada minumannya.

Majikan terbabit menyoal pembantu rumah itu yang mengaku berbuat demikian.

Pembantu rumah terbabit kini berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah terhadap tuduhan mencampurkan bahan berbahaya ke dalam makanan.

Identiti majikan dan pembantu rumah itu tidak dinyatakan.

Tahun lalu, seorang amah warga Indonesia di Dubai yang mencampurkan air kencing ke dalam teh majikannya dipenjara dua bulan. Dia melakukan jenayah itu kononnya untuk membuat keluarga majikannya sukakannya.

“Saya hanya mencampurkan sesudu air kencing ke dalam teh sebelum menyajikan minuman kepada keluarga itu. Saya lakukannya tujuh hari sebulan,” kata amah terbabit.

Pada 2007, seorang amah, juga warga Indonesia, dipenjara enam hari di Hong Kong kerana menyajikan majikannnya minuman yang dicampur dengan air kencing nya. - Agensi



Senin, 01 Juli 2013

Kos Pengambilan Pembantu Rumah Meningkat dari RM4 500 ke RM8 000


[AA] KUALA LUMPUR: Kos pengambilan pembantu rumah Indonesia di negara ini akan dinaikkan kepada RM8,000 berbanding RM4,500 sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan itu dibuat setelah mengambilkira kos-kos yang wujud di antara kedua negara seperti latihan 200 jam, kos dokumen perjalanan serta bayaran kepada agensi pekerjaan kedua negara.

Ia juga termasuk kos pengangkutan, pemeriksaan kesihatan, serta kos penginapan sebelum diserahkan kepada majikan.

Jelasnya walaupun kadar itu agak tinggi, namun ia telah dikaji terlebih dahulu.

"Ini sudah dikaji oleh semua pihak termasuk Indonesia. Mereka minta dengan alasan sekiranya hendak mengekalkan kadar yang asal itu tidak mungkin boleh dibuat.

“Kita pun tak mungkin mudah nak bersetuju, tapi apabila dikaji kita dapati itulah kadar yang sesuai walaupun dilihat agak tinggi."

"Tetapi itulah kadar yang kita persetujui dengan mengambil kira perbandingan dengan negara-negara penerima lain" katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di Parlimen.

Jawatankuasa berkenaan juga memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah gaji minimum 2012 kepada pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan ia akan ditentukan majikan mengikut kadar pasaran.

"Gaji minimum kita tak ambil kira. Itu terserah kepada majikan untuk tentukan mengikut kadar pasaran," katanya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan juga memutuskan untuk memansuhkan pengeluaran Journey Perform Visa (JP Visa) mulai 1 Oktober 2013.

Sebelum ini JP Visa dikeluarkan kepada warganegara Indonesia yang memasuki negara ini melalui Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Semua perkara itu terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik Indonesia di antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011 yang tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.



P/s: Kalau tidak mampu jangan menggatal menggajikan warga asing sebagai pembantu rumah. Apabila mengambil pembantu rumah, perkara yang perlu difikirkan bukan sekadar gaji bulanan, hal-hal yang membabitkan kebajikan mereka juga perlu diambil kira.