Sabtu, 31 Agustus 2013

[Gambar] Tembak Lagi, Kali Ini Bekas Pegawai TUDM

ANGGOTA polis memeriksa lokasi seorang lelaki dipercayai bekas anggota TUDM berusia 35 tahun maut ditembak berdekatan kedai makan bapanya di Taman Rishah , Ipoh kira-kira 7.30 pagi. FOTO Ikhwan Munir

Lelaki Mati Ditembak Selepas Terkena Tiga Das Tembakan di Kepala

[Mstar] IPOH: Seorang lelaki, dipercayai bekas pegawai tentera udara ditembak mati di Taman Rishah, awal pagi Ahad.

Lelaki berkenaan dipercayai ditembak sebanyak tiga kali di kepala pada pukul 7.15 pagi.

Lelaki berkenaan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sumber mengatakan tiga suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Vios selepas terlibat dengan kejadian tembakan tersebut.

Pesara TUDM maut ditembak

[SH] IPOH - Seorang pesara TUDM maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Taman Rishah, di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa, S Jambu Keshan, 39, sedang mengangkat barang dari keretanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ketika kejadian, suspek menaiki kereta Toyota Vios berada di lokasi berkenaan sebelum menghampiri mangsa.

"Salah seorang suspek keluar dari kenderaan itu dengan memakai helmet menutupi muka lalu lepaskan tembakan.

"Mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh ahli keluarganya tetapi meninggal dunia sebelum tiba di hospital," katanya yang akan siasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



[Wajib Baca] Ulasan Bahasa Nafsu Penonton TANDA PUTERA



FILEM TANDA PUTERA - secebis pandangan rambang!
(Aku bercakap dalam BAHASA NAFSUKU, anak-anak bawah umur perlu bimbingan)

Malam ini tadi, aku sekeluarga pergi menonton filem yang banyak pablisiti, aku sekeluarga duduk macam raja, kerana hanya dua keluarga saja yang berada dalam panggung menonton filem ini. Aku hairan kenapa terjadi demikian!


Sial punya filem, filem ini membuatkan aku takut...apa tidaknya, hanya dua keluarga sahaja yang menonton dipanggung yang kosong. Diskrin, kelihatan imbasan 13 Mei, orang-orang China sedang melanyak orang Melayu apatah lagi, bila dipaparkan trajedi di sebuah panggung wayang diChow Kit (semua orang Melayu tahu cerita ini) bagaimana orang Melayu dibunuh-leher disembelih dalam panggung wayang tersebut. Cuba bayangkan, panggung ini terletak dikawasan majoriti orang China. Filem ini amat membahayakan penontonnya!

Aku adalah penyokong kuat kerajaan, tetapi malam ini ...aku meng-Pokaimak-kan kerajaan termasuk producer dan pengarahnya dan mereka yang meluluskan filem ini. Aku rasa, bukan ini caranya untuk MENYATUKAN BANGSA! Meng-UNGKIT kisah yang lalu, tidak akan membawa kita kemana-mana kecuali SIA-SIA.

Filem ini dari awal hingga akhir, menggambarkan betapa lemahnya Tun Razak (The Sickman) yang sentiasa sakit dan MENGERANG dan selalu merujuk kepada Tun Dr. Ismail , orang kanannya tentang pentadbiran negara. Karakter Tun Razak yang dipegang oleh pelakunnya mempaparkan LAKUNAN yang terlalu 'BETINA' -Filem ini secara tidak langsung, aku lihat sebagai menjatuhkan kredibiliti Tun Razak dan juga kewibawan saudaraku Najib yang menjadi Perdana Menteriku ketika ini. Bertambah lagi runsingnya hatiku, ketika Count Down Merdeka tempoh hari, Najib tidak kelihatan kecuali Timbalannya (beliau datang lewat) ! Maka terjadilah berbagai-bagai ANDAIAN dimindaku yang sentiasa kuning. Filem ini lemah, dan tidak sepatutnya ditayang kepada umum.

Filem ini juga aku lihat mengambarkan suasana yang agak tegang pada masa lalu...TEMBAK SANA...TEMBAK SINI, apatah lagi sekarang ini juga, LETUP SANA -LETUP SINI. Aku menjadi gusar tentang keselamatan apabila menonton filem ini.

Kalau ada diantara kita yang ingin menonton filem ini, janganlah bawa keluarga...nanti banyak yang akan dipersoalkan oleh anak-anak.."Eh, kenapa orang China tu sembilh orang Melayu tu dalam panggung, ayah?"...."Eh itu Tun Razak? ...kesian dia mengerang sakit!"

Filem ini amat memalukan BANGSA MALAYSIA itu sendirinya. Yang sudah tu....sudahlah...Ayuh, mari kita bina SATU BANGSA yang bolih hidup harmoni didalam kancah BERBAGAI-BANGSA.

Sial punya filem!

* Ulasan ini dikutip tanpa izin daripada FB Tuan Noramin Moshi Moshi.


P/s: Tonton pendedahan Tunku Abdul Rahman dan Lim Kit Siang di sini.



Kakitangan Awam Terjun Bangunan Elak Dicekup?


Maut Terjun Hotel

[HM] Selayang: Seorang kakitangan awam terbunuh selepas terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Selayang Point, di sini, selepas premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa dalam Op Zina, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang hotel selepas panik dengan kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke biliknya.


Operasi diketuai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sempena malam ambang kemerdekaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang panik dengan kehadiran anggota penguat kuasa nekad terjun dari tingkat dua hotel.

“Ketika serbuan, mangsa dipercayai berdua-duaan bersama teman wanitanya di bilik hotel. Akibat terjatuh dari ketinggian itu, mangsa cedera parah di kepala,” katanya. -1/9/13

[Gambar] Logo dan Tatu Kongsi Gelap Malaysia




[Bernama] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan logo 49 kumpulan kongsi gelap yang diwarta haram.

Ketua Penolong Pengarah Kongsi Gelap/Judi/ Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata logo berkenaan dipapar dalam laman sosial Facebook PDRM agar orang ramai memahami maksud sesebuah logo itu sekali gus menghindari mereka daripada terlibat dengan sebarang kumpulan kongsi gelap.

"Pada peringkat awal ini, kita melalui program kepolisan dan pemeriksaan, akan menasihati orang ramai, yang memiliki atau menampal sebarang logo seperti di kereta dan rumah, supaya menanggalkannya dengan apa cara sekalipun.

"Ini juga bagi menghindarkan mereka ditahan pihak polis. Mungkin mereka tidak tahu apa maksud logo berkenaan dan tidak terlibatpun dalam mana-mana kongsi gelap. Namun jika mereka masih berdegil atau dikenal pasti memang terlibat dalam kegiatan itu, tindakan tegas akan diambil," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sidang akhbar itu turut memapar kesemua 49 logo kumpulan kongsi gelap berkenaan dan tatu logo yang dilukis pada badan melalui skrin selain penerangan berkaitan bangsa sesebuah kumpulan.

Antara kumpulan kongsi gelap itu ialah Geng 04 yang aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur; Geng 08 aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.

Abdul Jalil berkata polis juga akan memantau penggunaan logo terbabit pada kenderaan yang diguna ketika perarakan atau upacara pengebumian.

"Kita akan 'turun padang'. Kalau kita lihat ada logo itu diletak pada kenderaan yang membawa mayat, kita akan minta mereka tanggalkannya," katanya sambil meminta ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjebak atau menyertai mana-mana kumpulan kongsi gelap.

"Melalui risikan dan siasatan kita, setakat ini belum ada laporan pelajar sekolah di seluruh negara mengetuai mana-mana kumpulan kongsi gelap. Namun ada maklumat mengatakan kumpulan ini cuba mempengaruhi pelajar terutama di sekolah yang bermasalah.

"Mereka (kumpulan) akan berada di luar kawasan sekolah untuk memujuk pelajar agar menyertai mereka. Ada juga maklumat yang mengatakan kumpulan ini cuba merekrut pelajar di dalam kawasan sekolah, namun hasil tindakan pantas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta polis yang ditempatkan di dalam sekolah, perkara ini dapat dihindarkan," katanya.

Mengulas penglibatan golongan atasan seperti ahli politik dan selebriti dalam kegiatan itu, Abdul Jalil berkata setakat ini, polis tidak mendapat maklumat mereka terlibat, namun siasatan lanjut akan dijalankan.

Beliau berkata mereka yang terbabit dalam kumpulan kongsi gelap boleh dihukum mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM15,000, jika sabit kesalahan.

Katanya, seramai 28,926 orang dari kaum India dikesan menganggotai kongsi gelap, Cina (8,214) dan Melayu (1,923) manakala tiada penglibatan warga asing dalam kumpulan itu di negara ini.

"Ada antara mereka pernah ditahan di bawah undang-undang Akta Darurat," katanya sambil menafikan tumpuan lebih diberikan kepada kaum India kerana mereka paling ramai dikesan terlibat dalam aktiviti itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, yang mengumumkan nama kongsi gelap terbabit semalam, berkata kumpulan itu dikategori haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

Beliau berkata kumpulan itu dikesan menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.




Lelaki Curi Kabel Telekom Diberkas Orang Ramai


Tumpas Lepas 9 Jam Dikepung

[SH] ALOR KELADI - Usaha dua lelaki meloloskan diri daripada kepungan orang ramai selepas dipercayai mencuri kabel telekom di Kampung Bukit Rambutan, dekat Telaga Nibong tidak berhasil, apabila berjaya ditangkap kira-kira sembilan jam kemudian.

Sebelum itu, beberapa penduduk Kampung Kayu Kelat yang berkawal di kawasan tersebut, terserempak dengan kedua-dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta jenis Mazda, kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Penduduk percaya mereka adalah pencuri kabel telefon sebelum cuba menahan suspek, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran orang ramai mereka melarikan diri dengan kenderaan tersebut.

Menurut sumber, penduduk bertindak mengejar suspek, bagaimanapun selepas sampai di Kampung Kayu Kelat, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, suspek keluar dari kereta kerana dipercayai kenderaan itu tidak dapat bergerak laju akibat berat muatan kabel yang dicuri.

“Kedua-dua suspek meninggalkan kereta mereka lalu melarikan diri ke kawasan semak di tengah sawah berhampiran.

“Penduduk yang keluar beramai-ramai telah mengepung kawasan belukar tersebut, namun pada jam 7 pagi, dimaklumkan ada orang terserempak dengan suspek berkenaan berjalan kaki di Kampung Gong Duek, Hulu Besut beberapa kilometer dari situ,” katanya.

Katanya lagi, menyedari mereka dikesan penduduk, suspek menyembunyikan diri dalam semak berhampiran kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Gong Duek, sebelum dilihat penduduk kampung pada jam 12.30 tengahari melalui sawah menghala ke arah Kampung Alor Keladi.

Sejurus selepas itu, penduduk bertindak mengepung kawasan berkenaan dan berjaya memberkas suspek pada jam 1.30 petang di Kampung Alor Keladi sebelum diserahkan kepada polis pada jam 2 petang.

Dalam kejadian itu, salah seorang penduduk cedera ringan akibat bergesel dengan kereta suspek ketika cuba menangkap mereka.

Menurut sumber lagi, sebelum ini, suspek berkenaan dipercayai telah empat kali menjalankan aktiviti mencuri kabel telefon di lokasi sama dan kali terakhir pada Ramadan lalu.

Malah, mereka juga dikatakan pernah mengugut seorang warga emas dengan parang kerana menegur perbuatan mereka ketika terserempak semasa pulang solat Subuh, pada malam sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, dua suspek tersebut berusia 24 dan 35 tahun dari Kampung Batu 13, Hulu Besut dan kedua-dua positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Polis turut menemui kabel telefon dianggarkan sepanjang 250 meter di dalam kereta suspek dipercayai dicuri di tempat kejadian,” katanya.



Jumat, 30 Agustus 2013

Hati-hati, Ular Mungkin Berada di dalam kasut Anda


[SH] KUALA KURAU - Keterujaan seorang remaja bermain sepak takraw hampir mengundang padah apabila dia tidak menyedari kewujudan seekor ular tedung yang berada di dalam kasutnya, petang kelmarin.

Mujurlah remaja berkenaan bertindak segera membuka kasutnya setelah merasakan dia terpijak sesuatu benda yang lembik dan sejuk, jika tidak dia pasti dipatuk oleh haiwan berbisa itu.

Dalam kejadian jam 6 petang di Kampung Parit Mat Ali di sini, Marzuki Ahmad Pauzi, 18, berkata, dia menyarung kasut yang diletakkan di luar rumah untuk bermain sepak takraw di gelanggang berhampiran.

Menurutnya, kaki terasa sejuk dan lembik sewaktu menyarung kasut, namun dia tidak mengendahkan kerana menyangka plastik.

"Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya merasakan benda ‘sejuk dan lembik’ itu bergerak-gerak dan saya segera mencabut kasut.

“Alangkah terkejutnya apabila mendapati ‘benda’ yang berada di dalam kasut sepuluh minit lalu merupakan ular tedung senduk dan saya segera melepaskan kasut ini,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Marzuki berkata, dia mengenali spesies ular itu melalui bentuk seakan-akan huruf ‘O’ yang terdapat di kepala ular itu sewaktu ia sedang mengembangkan kepala.

Menurutnya, haiwan berbisa itu turut menunjukkan isyarat seolah-olah hendak menyerang, bagaimanapun salah seorang abangnya yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak memukul ular tedung senduk itu dengan sebatang kayu.

“Saya amat bersyukur haiwan itu tidak mematuk kaki saya sewaktu menyarung kasut, jika tidak sudah pasti perkara buruk terjadi pada saya,” katanya.

Katanya, ular tedung senduk itu berukuran setengah meter panjang dan dipercayai datang dari arah sawah padi berdekatan.

“Saya menjadi serik hendak meletakkan kasut di luar rumah berikutan bimbang ‘pisang berbuah dua kali,” katanya.



[Video] Lelaki Mengamuk Rampas Sang Saka Malaya



si hero

Mamat yang merampas bendera Sang Saka Malaya itu kini menjadi pujaan pengguna internet terutamanya yang berbangsa UMNO dan yang tidak mengetahui sejarah Sang Saka Malaya. 


P/s: Nasib baik kumpulan yang terdiri daripada Pak Samad dan Adam Adli ini tidak bertindak balas. Jika mereka bertindak balas, anda boleh baca cerita sensasi mereka dalam media.



Kemas Kini:

Lelaki Mengamuk Rampas Bendera Sang Saka Malaya


[DR] KUALA LUMPUR - Seorang lelaki telah bertindak merampas beberapa helai bendera 'Sang Saka Malaya' yang dikibarkan sekumpulan penyokong pembangkang di Dataran Merdeka malam tadi.

Kumpulan yang dipimpin aktivis politik, Hishamuddin Rais itu telah mengadakan satu perhimpunan Ambang Merdeka di samping mengibarkan bendera itu bagi menafikan Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan di Negara ini.

Lelaki tersebut yang bertindak ketika Sasterawan Negara, A.Samad Said sedang menyampaikan ucapan sempat memberi peringatan kepada para penyokong pembangkang bahawa Jalur Gemilang merupakan bendera yang menjadi mercu tanda rakyat di Negara ini. [VIDEO DI SINI]


Terdahulu, Hishammuddin Rais dalam ucapan ringkasnya berkata, kemerdekaan yang dikecapi selama 56 tahun merupakan Hari Malapetaka buat rakyat Malaysia.

Beliau yang mempertahankan bendera Sang Saka Malaya menegaskan, rakyat Malaysia telah ditipu dengan semangat mengibarkan Jalur Gemilang yang realitinya diciplak dari Amerika Syarikat.

"Jalur Gemilang adalah tipu dari Amerika, bendera sang saka ini adalah tradisi dari pada kerajaan Melayu langka suka.

"Bendera ini dinaikkan pada tahun 1947. Pengisytiharan 31 Ogos bukanlah Hari Kemerdekaan. Akan tetapi merupakan Hari Malapetaka," katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di Dataran Merdeka malam tadi.

Sambutan itu turut disertai Sasterawan Negara, A.Samad Said dan Aktivis Pro Mahasiswa, Adam Adli.


Beliau juga mengulangi pendirian mempertahankan bendera ‘Sang Saka Malaya’ sebagai bendera kebangsaan di Negara ini.

Tambahnya, bendera ini bakal diiktiraf sekiranya Kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

"Inilah bendera rakyat Tanah Melayu apabila negara kita bebas dari Umno." ujarnya. [LAGI VIDEO DI SINI]

Sebelum ini, beberapa Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa terutamanya Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mengibarkan bendera ‘Sang Saka Malaya’.

Salah seorang pemimpin NGO, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar menganggap tindakan itu sebagai biadab sekaligus menghina pejuang terdahulu yang banyak berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air. -1/9/13

* Berita di atas dikutip daripada Dialog Rakyat.



Bekas Kadet Tentera Australia Bersalah Siar Aksi Seks Secara Langsung di Skype


[HM] Sydney: Dua bekas kadet tentera Australia semalam didapati bersalah dalam skandal seks yang dipaparkan secara langsung melalui Skype dan mencetuskan semula isu seksisme dan penderaan dalam pasukan pertahanan.

Daniel McDonald, 21, dan Dylan Deblaquiere, 20, didapati bersalah oleh juri di Canberra kerana menyalahgunakan Skype di Akademi Angkatan Pertahanan Australia (ADFA) pada 2011. McDonald juga didapati bersalah melakukan pencabulan apabila dia menyiarkan secara langsung aksi seksnya dengan seorang kadet wanita melalui Skype secara rahsia. Aksi itu ditonton Deblaquiere dan empat kadet lain di sebuah bilik berasingan.

Mangsa yang kini berusia 20 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu atas sebab perundangan tidak menyedari perbuatannya dirakam. Mengalami trauma, dia merujuk kepada pihak media dan menggesa kerajaan mengarahkan kajian semula terhadap budaya seks di ADFA.

Canberra secara rasmi meminta maaf kepada mangsa penderaan dalam tentera November tahun lalu selepas lebih 1,000 orang tampil dalam satu daripada inkuiri mengenai penderaan seksual dan penderaan lain bermula dari 1950-an hingga kini.

Inkuiri itu melaporkan upacara kekejaman dan gambaran budaya merahsiakan atau melindungi, gagal menghukum pesalah dan bersengketa dengan mangsa yang membuat aduan.

Dalam inkuiri berasingan terhadap layanan kepada wanita di ADFA, kolej ketenteraan utama di Australia, mendapati gangguan seksual secara meluas berlaku dan budaya “bertolak ansur” pada wanita hanya mengikut jawatan dan bukan atas dasar persamaan hak. - Reuters - 30/8/13



Hukum Potong Tangan Sendiri




[HM] Kaherah: Seorang lelaki Mesir mengudungkan tangannya dengan meletakkan anggota tubuhnya itu pada landasan ketika sebuah kereta api meluncur laju.

Ali Afifi, 28, berbuat demikian semata-mata untuk menghukum dirinya dan menghentikan ketagihan mencuri serta mengelak daripada menderita dalam kehidupan seharian kerana tabiatnya itu dan juga mengelak hukuman di akhirat.

Ali berkata, tabiat mencurinya bermula sejak muda lagi, apabila dia mencuri bekalan rakan sekolahnya. Dia kemudian mencuri barangan di kedai dan apabila dewasa, dia mula mencuri telefon bimbit serta barangan kemas.

Menurutnya, dia menggunakan wang hasil curinya itu kepada kanak-kanak dan keluarga miskin.

Bagaimanapun, dia gagal mengatasi tabiatnya itu dan akhirnya mengambil keputusan mengudungkan kedua-dua tangannya itu sebagai cara mengakhiri ketagihannya.

Ali berkata, dia kini bercita-cita untuk membantu penduduk di bandar tempat dia tinggal dan membina pusat belia. Dia juga bercadang bekahwin tetapi tidak yakin ada wanita Mesir yang mahu menerimanya kerana kisah lampaunya. - Agensi - 30/8/13



Ku Li Berundur...


Ku Li Mahu Berundur Sebagai Ketua Bahagian

[Bernama] Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah sampai masanya bagi beliau berundur sebagai ketua bahagian setelah hampir 50 tahun berkhidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

"Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baru yang lebih jujur dan adil dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata keputusannya untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, juga adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak.

PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baru yang dapat menggantikannya.

"Saya diminta untuk terus menerajui Umno bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan kerana ramai yang layak dipilih," katanya kepada pemberita selepas majlis Kesyukuran Kemenangan BN Parlimen Gua Musang bersama Orang Asli di Kampung Lambok, di Gua Musang hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan Umno Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 September ini untuk bertanding atau tidak," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baru parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 September (untuk Majlis Tertinggi). - 30/8/13


[PANAS] Artis Jelas Kontroversi Lukisan "I is for Idiot"


Artis: 'I for Idiot' Rujuk kepada George Bush

[MK] Karya seni 'I is for Idiot' (I untuk bahlul) yang dirampas polis kerana didakwa menghina Islam sebenarnya merujuk kepada peristiwa serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq semasa pentadbiran Presiden George W Bush, jelas senimannya.

Justeru, kata Anurendra Jegadeva, beliau tidak berniat menghina Islam tetapi menunjukkan pendirian berbeza sebagai kebersamaan dengan "warga jalanan Iraq", yang kebanyakannya orang Islam.

Beliau juga menjelaskan ayat al-Quran yang digunakan sebagai mewakili rakyat Iraq. Ia juga diterbalikkan bagi menggambarkan keadaan dunia ketika itu.

"Perkara ini dilakukan, dengan niat, untuk menggambarkan keadaan dalam sejarah dunia apabila semuanya dilihat secara terbalik," katanya.

"Oleh itu, dalam kes menterbalikkan ayat itu, tiada sebarang niat jahat atau nakal dengan sebarang cara untuk menghina atau memperkecilkan agama," katanya dalam kenyataan.

Polis semalam mengambil sebuah karya Anurendra yang dipamerkan dalam pameran M50 Selamat Hari Malaysia untuk siasatan terhadap dakwaan menghina agama.

'I is for Idiot' sebahagian daripada siri karya 'ABC For The Middle-Age Middle Classes' (ABC untuk kelas menengah Zaman Pertengahan), diambil daripada Publika Mall, tempat ia dipamerkan.

Difahamkan laporan polis dibuat semalam terhadap 'I is for Idiot' atas dakwaan menghina Islam, antaranya berhubung tulisan bissmillah dalam bahasa Arab. - 30/8/13


Kemas Kini

Nazri Sahkan, ‘I for Idiot’ Ditarik Balik, Polis Sedang Siasat

[TMI] Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengesahkan kementeriannya, Pelancongan dan Kebudayaan secara rasmi telah menarik balik lukisan "I For Idiot" yang dikatakan menghina agama Islam.

Menurut beliau, ketika pihak penganjur datang kepada kementeriannya untuk memohon permit pameran, mereka tidak menunjukkan kesemua lukisan termasuk karya tersebut.

"Kita tidak tahu mereka menipu ketika dibentangkan kepada Balai Seni Visual, kita tidak ditunjuk dengan lukisan seperti itu," kata beliau kepada Wartawan selepas merasmikan pelancaran 50 tahun ulang tahun Muzium Negara di Kuala Lumpur.

Tegasnya, kini perkara itu berada dalam siasatan polis.

"Perkara ini sudah dibawa ke pihak polis biar mereka menyiasat hal tersebut, kita tidak akan mengenakan apa-apa tindakan selain dari menarik palik pameran karya tersebut.

"Apa yang penting sekarang karya tersebut sudah digantung dan sekiranya mereka tetap berdegil mempamerkan maka kita tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lagi tegas," katanya lagi.

Khamis lalu, polis telah merampas lukisan Anurendra Jegadeva yang dipamerkan di pameran M50 Selamat Hari Malaysia selepas menerima laporan ia menghina Islam.

Pameran yang diadakan di pusat beli belah Publika dekat Solaris Dutamas itu adalah sebahagian dari festival seni yang bermula Isnin lalu dan bakal berjalan ke seluruh negara sempena sambutan 50 tahun Malaysia.

Ia dianjurkan oleh Balai Seni Visual Negara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di mana lebih 40 galeri senilukis seluruh negara mengambil bahagian untuk melahirkan kesedaran tentang Hari Malaysia.

Anurendra dalam kenyataannya menafikan mempunyai sebarang niat untuk menghina Islam kerana lukisan itu adalah lambang solidariti untuk mangsa perang di Iraq. – August 31, 2013.


Kamis, 29 Agustus 2013

[PANAS] Konsert Metallica: Gabenor Jakarta Kecewa



Peminat Metallica di Malaysia.

Jakarta Tetap Santun di Konsert Metallica

[HM] Jakarta: Gabenor Jakarta Joko Widodo berkata, rakyat Indonesia sememangnya memiliki adab sopan yang terpuji.

Jokowi begitu dia lebih dikenali membuat pujian itu selepas melihat tingkah laku orang ramai yang tetap bersopan dan tidak menimbulkan kekecohan walaupun ketika konsert kumpulan Metallica berlangsung di Stadium Bung Karno pada malam Ahad lalu. 

“Daripada pemerhatian saya ketika konsert rock itu berlangsung, masyarakat Jakarta menjaga ketertiban dan adab sopan yang dibanggakan,” katanya kepada media semalam.

Bekas Gabenor Solo yang disebut-sebut bakal menjadi Presiden Indonesia itu berkata, konsert Metallica berjalan lancar kerana masyarakat mematuhi peraturan dan menjaga keamanan. 

“Pada pendapat saya, pihak pengurusan menjalankan tugas dengan baik dan penonton juga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. Bagaimanapun, Jokowi mengakui dia menyimpan sedikit perasaan kecewa tetapi tiada kaitan dengan tingkah laku orang ramai.

“Saya kecewa kerana gagal bertemu secara peribadi dengan anggota kumpulan Metallica walaupun kami sudah berjanji dan saya mempunyai jadual mengejut di tempat lain,” katanya. - Agensi - 30/8/13


P/s: Saspens!!!


[Video] Sebelum Tonton Tanda Putera, Tonton Pengakuan Tunku Abdul Rahman, Tamrin Ghaffar, Lim Kit Siang tentang 13 Mei



Apa kata Lim Kit Siang:



Apa pula kata Tamrin:




P/s: Anda nilai!!!!



Sebab Anwar Mahu Singkir Shafee Abdullah Sebagai Timbalan Pendakwa Raya



[TMI] Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak boleh menjadi timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kerana peguam kanan itu berada dalam senarai saksi pendakwaan.

Ini adalah pendirian Anwar untuk menyingkirkan peguam itu sebagai pendakwa utama kes liwat yang akan didengar di Mahkamah Rayuan bulan depan.

“Walaupun Shafee tidak pernah memberikan bukti, beliau ditawarkan kepada pihak pembela sebagai saksi kes itu.

“Shafee adalah sebahagian daripada pihak pendakwaan. Kemungkinan beliau juga memberikan kenyataan kepada polis,” kata Anwar dalam afidavit yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Anwar berkata, Shafee tidak seharusnya dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya kerana Jabatan Peguam Negara mempunyai pengamal undang-undang lain yang layak untuk mengendalikan rayuan itu.

Malah, katanya, perbelanjaan untuk menggunakan khidmat Shafee adalah menggunakan wang pembayar cukai.

Shafee pada 22 Julai lalu berkata, pelantikannya mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dibayar amaun minimum kerana mempunyai kontrak masih berjalan di antaranya dengan kerajaan.

Anwar berkata, Seksyen 376 (6) hanya mengenai pelantikan seorang yang layak dan sesuai sementara 379 menyentuh mengenai pekerjaan.

Katanya, Shafee tidak boleh dilantik mengikut dua seksyen itu kerana ia mempunyai maksud lain.

Ketua pembangkang itu berkata, mengikut Seksyen 376 (3), seorang peguam boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya tanpa gaji sementara mengikut Seksyen 379 peguam dipilih dan gaji dibayar menggunakan dana awam.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan selama dua hari bermula 17 September.

Shafee sebelum ini dipetik sebagai berkata, pelantikan sebagai Timbalan Pendakwaraya tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana beliau bukan ahli politik atau anggota sebarang parti politik dan beliau dipilih atas kelayakannya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut mempertahankan langkah melantik Shafee, walaupun memperlihatkan Jabatan Peguam Negara berat sebelah dan mengikut rentak kerajaan.

Gani berkata, memberikan lesen kepada peguam persendirian untuk mewakili Putrajaya bukan sesuatau yang baru, menjadikan inkues Teoh Beng Hock sebagai contoh iaitu Datuk Tan Hock Chuan sebagai pegawai bertugas dalam kes itu.

Beliau berkata, pendakwa utama perbicaraan Anwar, Datuk Yusof Zainal Abiden yang bersara pilihan juga pernah mewakili pembangkang.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata pelantikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya adalah perkara luar biasa dan memberikan persepsi bahawa pegawai dari Jabatan Peguam Negara tidak kompeten.

Menurut Abu Talib yang menjadi Peguam Negara selama 13 tahun sejak 1980, terdapat ramai pegawai berpengalaman untuk menjalankan rayuan yang beliau anggap sebagai kes “straight forward”.

Beliau berkata, menjalankan rayuan kes itu mudah kerana Anwar hanya dibebaskan selepas diberikan pembelaan dan persepsi terhadap kerajaan tercemar dengan pelantikan Shafee.

Anwar dibebaskan Januari tahun lalu selepas dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

Seramai 27 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung melebihi tiga tahun itu.

Anwar memberikan keterangan dari dalam kandang saksi. – 30 Ogos, 2013.


Kematian Eksekutif AirAsia Tragis




[TMI]Kematian eksekutif penerbangan Shahrinawati Abu Bakar lebih tragis daripada laporan sebelum ini dengan fakta baru diterima.

Polis petang ini mengesahkan beliau bukan sahaja dilanggar malah barangannya turut dirompak.

Ketua Polis Ampang Amiruddin Jamaluddin berkata seorang saksi bersama rakannya membawa Shahrinawati ke hospital namun sudah terlambat.

"Saksi melihat dua lelaki cuba merompak beliau. Dia kemudian mengundurkan kereta bagi menghalang penjenayah tetapi malangnya terkena mangsa," kata Amiruddin.

Laporan awal mendapati mangsa maut disebabkan cedera parah namun hasil penyiasatan mendapati sebaliknya.

Dua penjenayah melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha LC berwarna hitam dan seorang daripada mereka keciciran dompet.

Kejadian berlaku di hadapan kondominium Palm Villa di Taman Cempaka di mana mangsa tinggal bersama tiga adiknya.

Shahrinawati, 30, diserang ketika keluar dari kenderaan pada jam 2.45 pagi.

Siti Mariam Mohd Hanif, 23, rakan kepada mangsa, berkata Shahrinawati seorang ketua yang baik.

"Dia seorang yang tegas bila bekerja dan dihormati ramai," katanya yang kali terakhir berjumpa mangsa pada petang Rabu ketika sesi taklimat.

Bapa mangsa, Abu Bakar Jemain, 53, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur kelihatan tenang.

"Ini sudah ditakdirkan. Biar polis yang menyiasat," katanya.

Rakan dan saudara hadir ke Masjid Nurul Hidayah Pandan Indah petang tadi bagi memberikan penghormatan terakhir. - 29 Ogos, 2013.




Mengapa ADUN PR Tidak Menyokong "Rang Undang-undang Anti-Syiah"?


Kredit: Kedah Lanie




Rabu, 28 Agustus 2013

[PANAS] Senarai Rasmi Kongsi Gelap dan Pertubuhan Haram di Malaysia


[TMI] Kementerian Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan 49 pertubuhan tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 dalam tindakan kerajaan memerangi jenayah dan keganasan dalam negara.

Senarai dikeluarkan hari ini atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) dan membabitkan pertubuhan terkemuka seperti Geng 04, Geng 08 dan Geng 36, lapor The Star. – 29 Ogos, 2013.

Senarai penuh pertubuhan kongsi gelap haram adalah seperti berikut:

1) Geng 04

2) Geng 08

3) Double 7

4) Tiga Line

5) Geng 30

6) Geng 38

7) Geng 24

8) Geng 18

9) Geng 36

10) Geng 21

11) Ang Soon Thong

12) Wah Kee

13) Sio Sam Ong

14) PNEH

15) Hong Hong San

16) Hai San

17) Sin Ang Bin

18) New Cell 20

19) Jit It Hai

20) Sio Koon Tong

21) Gee Lam Kor

22) Gee Ah Eng

23) Loh Kuan

24) Tiang Yee Tong

25) Geng Leng Hor

26) Geng 35

27) Geng 303

28) Geng Satu Hati

29) ATAP

30) Hung Ann

31) Sui Yup

32) Otai

33) Borneo Red EMP

34) Ah Ngau

35) Batu Tiga

36) Ah Feng

37) Batu 10

38) Sibu Ti

39) Ah Seng

40) Ah Chin

41) Lee Lung

42) Lo Han

43) Sg Merah

44) Sg Badut

45) Ting Ching Lee

46) Tua Cak Lee

47) Teksi Station

48) Pintu Merah

49) Krokop


Berkaitan:

Ahli Politik Ternama Didakwa Naungi Kongsi Gelap

[MK] Sebilangan ahli politik ternama didakwa menaungi beberapa kongsi gelap dan beberapa orang daripadanya turut menjadi penasihat kumpulan terbabit.


Laporan akhbar Sin Chew Daily menyebut, kumpulan berkenaan merupakan antara 10 kongsi gelap, yang akan didedahkan esok oleh Kementerian Dalam negeri.

Ia membabitkan kumpulan gengster Cina, Melayu dan India, menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu.

Kumpulan itu meliputi “Geng 04”, “Geng 08”, “Geng 21” dan “Geng 36” dari kumpulan India; “Hong Shun Tang”, “3821”, “Wu Se Qi”, “Hong Men” dan Hua Ji Dang” dari golongan Cina; serta “Geng 3 Calit” dari kelompok Melayu.

Akhbar tersebut yang memetik kenyataan sumber menyebut, kerajaan buat kali pertama akan melancarkan “perang” ke atas kongsi gelap dengan mendedahkan senarai nama kongsi berkenaan kepada umum.

Menurut sumber tersebut, gengster Cina aktif dalam perniagaan haram termasuk menjual DVD cetak rompak, membuka pusat karaoke, pusat perjudian, mengedar dadah dan khidmat pelacuran.

“Gengster India secara perbezaannya lebih agresif kerana mereka memungut wang perlindungan dari pengusaha gerai dan pub selain menjadi penembak.

“Sementara itu, gengster Melayu lebih aktif 'menjaga' tapak pembinaan dengan memungut wang di sana.

“'Geng 3 Calit' Melayu paling aktif dan ketua setiap kawasan dipanggil ayahanda,” katanya. -28/8/13


Remaja Didakwa Rogol Budak Sekolah di Tepi Tangga



[Kosmo] JOHOR BAHRU – Seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini semalam meluahkan kekesalan ke atas seorang remaja yang dituduh merogol seorang gadis yang baru dikenalinya dalam tempoh dua hari menerusi aplikasi WeChat di tepi tangga sebuah pangsapuri.

“Kamu baru tiga empat hari berkenalan, kamu sudah lakukan kerja-kerja macam ini, kira macholah kamu?

“Sepatutnya dalam bulan Ramadan dan Syawal, kamu harus berkelakuan mulia, barulah hidup kamu akan berkat, ini tidak. Ibu bapa kamu tahu yang kamu dihadapkan mahkamah, mereka pun tidak hadir ke sini,” kata Hakim Hassan Abdul Ghani dengan sinis kepada tertuduh, Muhammad Amirul Yusman (gambar), 18.

Pekerja landskap itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini.


2 Lelaki Berkongsi ISTERI


[HM] Nairobi: Dua lelaki bermusuhan menandatangani satu perjanjian bertulis baru-baru ini untuk berkongsi seorang wanita yang sama-sama mereka cinta.

Perjanjian itu dibuat selepas wanita berkenaan enggan memilih seorang daripada mereka.

Kedua-dua lelaki itu baru-baru ini menyedari wanita terbabit menjalinkan hubungan sulit dengan kedua-dua mereka selama empat tahun. Bagaimanapun, masing-masing-masing enggan memutuskan hubungan dengan wanita berkenaan kerana tidak sanggup untuk berpisah dengannya.

Seorang daripada lelaki itu, Sylvester Mwendwa, ketika ditemui wartawan mengaku bersetuju berkongsi wanita itu dengan lelaki bernama Elijah Kirmani.

Menurutnya, mereka sama-sama mencintai wanita itu dan perjanjian berkenaan bertujuan untuk menjadi garis sempadan selain memastikan mereka tidak bergaduh.

“Wanita itu seperti pengadil. Dia akan menentukan sama ada dia akan tidur dengan saya atau Kirmani,” kata Mwendwa.

Kedua-dua lelaki itu akan membiayai kehidupan wanita itu dan anak yang akan dilahirkan pada masa depan.

“Kami akan membesarkan anak dilahirkannya seperti anak kami, tidak kiralah siapa bapanya sebenar,” katanya.

Di Kenya, poligami dibenarkan. Begitu juga dengan poliandri (wanita dua suami). Tetapi ia jarang berlaku. - Agensi - 28/8/13


P/s: Gila!!!






Surau Tanjung Sutera Resort DIROBOHKAN Pemilik



[Kembang Wira] SURAU kontroversi di Tanjung Sutera Resort di Sedili Besar, Kota Tinggi Johor sudah pun dirobohkan sekali gus menyelesaikan isu penggunaan surau itu oleh penganut agama Buddha pada hari raya Aidilfitri kedua lalu.

Gambar yang diperoleh menunjukkan jentolak merobohkan sisa-sisa bangunan surau itu yang masih tinggal.

Terdahulu, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengarahkan pihak Tanjung Sutera Resort supaya merobohkan suraunya yang menjadi tempat meditasi sekumpulan penganut Buddha, dalam masa 21 hari, bermula 21 Ogos lepas.

Arahan itu disampaikan dalam notis bertarikh 20 Ogos 2013 yang ditampal di pintu masuk surau tengah hari ini, yang ditandatangani Pengerusi MDKT, Hasrin Kamal Hashim.

Alasan diberikan, pembinaan surau itu menyalahi Seksyen 70 Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 kerana dibina tanpa kebenaran bertulis majlis daerah.

Notis itu juga menyatakan pihak resort akan dibawa ke mahkamah jika gagal berbuat demikian atau menanggung kos merobohkannya yang akan dilakukan oleh majlis daerah.

“Tuan adalah dengan ini diberitahu supaya meruntuhkan bangunan itu dari tempoh 21 hari dari tarikh notis ini diterima,” notis itu dipetik.

Seorang pekerja resort yang ditemui menjelaskan beliau menerima notis itu dari pihak MDKT yang hadir ke surau itu tengah hari tadi.

Surau berkenaan menjadi isu panas apabila ada pengunjung yang ingin menunaikan solat ternampak beberapa orang penganut agama Buddha beserta sami mereka menjalankan ritual keagamaan di dalam surau berkenaan sekaligus satu kesalahan.


P/s: Apa dosa bangunan ini? 

Berkaitan:

Surau Kontroversi Di Sedili Besar Dirobohkan Pemilik

[Bernama] KOTA TINGGI: Surau di sebuah resort di Sedili Besar yang digunakan sekumpulan penganut agama Buddha untuk ritual pada 10 Ogos lalu hingga mencetuskan kemarahan umat Islam, akhirnya dirobohkan oleh pengurusanresort berkenaan pada Rabu.

Menurut salah seorang pekerja resort berkenaan, Mohd Kanang Abdullah, 29, diadiarahkan oleh pemilik resort tersebut supaya melakukan kerja-kerja meroboh surau berkenaan.

"Kerja-kerja meroboh dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dengan menggunakan sebuah jentolak. Kerja ini kita akan sambung esok," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Sementara itu, tinjauan mendapati hanya tinggal 20 peratus struktur binaan itu iaitu bahagian hadapannya yang belum dirobohkan.

Sebelum ini Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengarahkan pihak pengurusan resort berkenaan supaya merobohkan surau tersebut.

Arahan pada 20 Ogos dikeluarkan melalui notis itu memberikan tempoh 21 hari kepada pemilik resort untuk meroboh premis berkenaan.

Jika gagal pemiliknya boleh dihadapkan ke mahkamah atau menanggung kos merobohkannya jika ia dilakukan oleh MDKT. 




PIBG SK Seri Pristana Mahu Sekolah Jawab Kontroversi Terkini


[TMI] Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Pristana mahukan jawapan daripada pentadbiran sekolah mengenai tuduhan intimidasi terhadap beberapa murid sehingga menyebabkan tiga murid bukan Islam ditukarkan ke sekolah lain oleh ibu bapa masing-masing.

Mendakwa tidak tahu mengenai pertukaran itu, Pengerusi PIBG, Hussein Mohd Ariff, memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka akan bertemu dengan pihak pengurusan sekolah esok.

Semalam dilaporkan sekurang-kurangnya tiga murid bukan Islam keluar dari sekolah di Sungai Buloh itu dan 10 lagi akan mengikut jejak langkah berkenaan untuk bertukar ke sekolah lain.

Ini adalah akibat daripada tuduhan intimidasi selepas kejadian bilik persalinan sekolah itu jadi kantin tersebar luas di laman sosial Facebook.

Tiga murid terbabit mendakwa mereka diintimidasi dan dibuli oleh pihak berkuasa sekolah selepas isu murid bukan Islam diarahkan makan pada waktu rehat di bilik persalinan diketahui umum.

Ia turut mendedahkan bahawa ibu bapa 10 lagi murid bukan Islam akan menukarkan anak mereka ke sekolah lain selepas seorang penjaga mendakwa diugut oleh guru besar apabila menuduh ada orang yang tidak dikenali mengambil gambar anaknya sebanyak dua kali dalam kawasan sekolah.

Hussein melahirkan rasa tidak percaya atas perkembangan terbaru itu.

“Ini semua baru untuk saya. Saya menjangkakan sekolah akan memaklumkan kepada saya dan ahli jawatankuasa lain mengenai kejadian ini pada Khamis,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

“Saya tidak faham mengapa isu ini perlu dipanjangkan,” katanya.

Setiausaha Kebangaan Malaysia Tamilan Today Welfare, K Gunasegaran, berkata semua ibu bapa hilang kepercayaan kepada guru besar dan guru.

“Kami tidak melihat cara lain oleh kerana murid diganggu dan dibuli di sekolah, hanya kerana ibu bapa mereka bersuara,” katanya.

Terdapat 25 murid bukan Islam di sekolah yang mempunyai 1,400 murid itu.

Sekurang-kurangnya 10 ibu bapa membuat laporan polis terhadap sekolah itu atas aduan yang hampir sama iaitu anak mereka diintimidasi dan dibuli, tetapi polis berkata tidak ada niat jenayah dalam aduan itu dan perkara itu dipindahkan ke Jabatan Pelajaran.

Seorang bapa, V Kumancan, turut ditahan dua hari lalu atas tuduhan mengugut guru besar sekolah, Mohd Nasir Mohd Noor.

Kumancan dituduh datang ke sekolah pada 25 Julai jam 2.30 petang, tetapi beliau menafikan tuduhan itu dan berkata sedang bekerja pada waktu itu.

Bapa berusia 31 tahun itu yang buat masa ini dibebaskan atas jaminan polis, dijangka didakwa atas tuduhan intimidasi jenayah tidka lama lagi.

Kumancan turut membuat laporan polis pada 30 Julai terhadap Mohd Nasir dan sekolah atas tuduhan mengambil gambar anak perempuannya yang berusia 10 tahun di sekolah, menuduh perbuatan itu berlaku dua kali pada 29 Julai, empat hari selepas kejadian makan dalam bilik persalinan itu didedahkan oleh Guneswari Kelly.

Guneswari sejak kejadian itu memindahkan anak perempuannya ke sekolah Tamil selepas murid sembilan tahun itu dikatakan didera secara lisan oleh beberapa guru di sekolah itu. – 28 Ogos, 2013.



Selasa, 27 Agustus 2013

Mata Dicungkil Penyeludup Organ?



[HM] Beijing: Seorang kanak-kanak dicungkil matanya selepas dilapor diculik oleh seorang penyeludup organ.

Anggota keluarga menemui kanak-kanak berkenaan berlumuran darah tiga hingga empat jam selepas dia hilang ketika bermain di luar rumah.

Mata mangsa ditemui berhampiran tetapi korneanya hilang, menunjukkan seorang penyeludup organ bertanggungjawab terhadap serangan ngeri itu.

Polis menawarkan hadiah 100,000 yuan (RM52,800) kepada mereka yang dapat memberi maklumat hingga suspek, yang dipercayai wanita, dapat ditangkap.

“Mukanya berlumuran darah ketika ditemui. Matanya dicungkil,” kata bapa mangsa kepada Televisyen Shanxi.

Rakaman televisyen itu menunjukkan bahagian mata mangsa yang berbalut dibawa keluar dari bilik pembedahan dan ditempatkan di sebuah katil hospital, meraung kesakitan sementara anggota keluarganya menangis di sisi katil.

Budak itu didiberi dadah menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum penyerang mencungkil matanya, lapor stesen televisyen CCTV menerusi lamannya di Sina Weibo, versi Twitter China.

Budak itu bermain bersendirian di luar rumahnya apabila dia diculik petang kelmarin. Ibu bapanya menyedari dia hilang selepas memanggilnya untuk masuk ke rumah kira-kira jam 8 malam. Selepas dia tidak muncul, ibu bapanya melancarkan gerakan mencari dengan dibantu oleh sanak saudara lain dan akhirnya menemuinya di sebuah padang berhampiran, kira-kira tiga jam kemudian.

“Kami tidak menyedari matanya hilang apabila menemuinya. Kami menyangka dia jatuh dan cedera di muka,” kata bapa mangsa.

Kehilangan mata mangsa hanya diketahu apabila dia dirawat di hospital.

Perdagangan organ secara haram didorong oleh permintaan yang begitu banyak. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun. - Agensi -28/8/13


P/s: Gila kejam!!!!


Kemas Kini:

Guo Mungkin Dapat Melihat Semula

[HM] Hong Kong: Kanak-kanak malang yang buta apabila matanya dikorek seorang wanita mungkin dapat melihat semula suatu hari nanti apabila sebuah hospital menawarkannya rawatan mata elektronik kepadanya.

Pakar mata berpangkalan di Hong Kong, Dennis Lam berkata, pasukannya akan memberikan rawatan percuma kepada Guo Bin - atau lebih dikenali sebagai Bin Bin - yang ditemui berlumuran darah dekat rumah di Shanxi, utara China bulan lalu.

Lam memberitahu media teknologi canggih itu dapat mengembalikan 40 peratus penglihatan kanak-kanak itu.

“Apabila saya mendengar berita mengenai Guo, saya sangat marah dan sedih. Saya bertanya kepada diri sendiri sama ada saya boleh membantunya.

GUO mencium pipi ibunya di sebuah hospital di Taiyuan di wilayah Shanxi.


“Sebagai doktor mata, matlamat utama kami ialah agar pesakit dapat melihat semula,” katanya.

Lam berkata, dia masih menunggu kata putus ibu bapa Guo untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital di Shenzhen, selatan China, untuk membolehkan dia menerima sepasang mata palsu kepada Guo seawal minggu depan. 

Kamera dalam mata palsu itu akan memberikan isyarat berdasarkan bentuk objek kepada denyutan penjana elektrik yang disambungkan pada lidahnya bagi membantu Guo mengenali bentuk objek. 

Lam berkata, teknologi itu sudah pun digunakan di Jepun dan Eropah.

Matlamat akhir ialah untuk memberi kanak-kanak itu mata bionik yang disambungkan pada otak yang akan membantunya memperoleh sebahagian penglihatannya. 

“Akhirnya penglihatan Guo dapat mencapai 20 hingga 40 peratus apabila kita bercakap mengenai 10 tahun akan datang. Matlamat utama adalah untuk membantunya melihat semula,” katanya.

Kabel televisyen Hong Kong berkata, ibu bapa Guo masih menimbangkan tawaran Lam. 

Guo hilang ketika bermain di luar kediamannya dan matanya ditemui berdekatan dengan tempat itu. 

Pihak berkuasa berkata, ibu saudara Guo, Zhang Huiying menjadi suspek utama selepas darah Guo ditemui pada pakaiannya berdasarkan ujian DNA. 

Bagaimanapun, suspek membunuh diri Jumaat lalu dengan terjun ke dalam perigi di kampung itu. - AFP - 4/9/13



Pertubuhan Syiah Malaysia Diisytihar HARAM


[MK] Menteri Dalam Negeri hari ini mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang, berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi (kiri) berkata, walaupun permohonannya untuk didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ditolak, badan itu tetap bergerak aktif.

Malah, katanya, kegiatan itu memudaratkan ketenteraman awam serta mencetuskan keresahan di negara ini yang sebahagian besarnya berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.

Menurut Abdul Rahim lagi, pengikut Syiah di Malaysia memohon mendaftarkan mendaftarkan pertubuhan itu pada 16 Jun 2011 dan tolak pada 4 Ogos tahun yang sama.

Rayuannya kepada menteri berkaitan juga ditolak pada 31 Oktober 2011, menurut kenyataan itu lagi.

Dakwa AirAsia Hidang BABI, Bekas Menteri Mohon Maaf Enam Bulan



[TMI] Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin diminta untuk mengemukakan permohonan maaf selama enam bulan oleh kumpulan AirAsia berhubung dengan dakwaan mengatakan babi dihidangkan dalam penerbangan pesawat syarikat itu untuk menggelakkan disaman sebanyak RM5 juta.

Beliau yang mengemukakan permohonan maaf kepada AirAsia pada bulan lalu di blognya Zamkata, berkata beliau tidak mampu membayar saman dan sara hidupnya hanya berdasarkan wang persaraan.

“AirAsia meminta saya menyiarkan permohonan maaf ini selama enam bulan tetapi saya akan siarkan untuk bertahun-tahun akan datang dengan tujuan penyebarannya lebih meluas dan bagi pengetahuan dari generasi ke generasi.

“Saya berterima kasih kepada Rocky's Bru yang menyatakan setiakawan bagi pihak penulis blog dan jaminan membela saya dalam menghadapi sebarang tindakan dari AirAsia,” katanya merujuk kepada penulis blog yang juga bekas Ketua Pengarang Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan.

Dalam permohonan maafnya kepada AirAsia, beliau tidak menyangka artikel yang bertajuk, “Hidangan babi dalam penerbangan AirAsia, orang Islam patut tangguhkan dulu terbang dengan pesawat ini" di dalam blognya memberikan implikasi buruk kepada nama baik AirAsia dan AirAsiaX.

Katanya, selepas menerima surat tuntutan dari peguambela dam peguamcara AirAsia Berhad kira-kira sebulan dari tarikh penyiaran artikel tersebut, maka barulah beliau menyedari bahawa artikel itu memberikan implikasi atau gambaran,seolah-olah babi dihidangkan dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang mana dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Saya mohon maaf kepada AirAsia Berhad diatas sebarang kecederaan yang menimpa mereka kerana artikel tersebut dan saya berharap orang ramai tidak mempunyai sebarang prasangka bahawa babi ada dihidangkan di dalam penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Saya yakin dan percaya bahawa AirAsia dan AirAsia X sangat prihatin terhadap sensitiviti agama kesemua penumpang mereka,” jelasnya menerusi blog Zamkata.

Hal ini dipanjangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranum semasa majlis sambutan Aidilfitri Utusan Melayu namun beliau enggan mengulas lanjut tentang tindakan saman yang diambil oleh AirAsia dan AirAsia X terhadap Zainuddin.

Kamaruddin berkata, AirAsia bukanlah anti Utusan meskipun syarikat penerbangan tambang rendah itu menarik balik iklan dalam akhbar milik Umno tersebut.

“Saya tahu sejarah Utusan dan Utusan adalah darah daging saya. Tuduhan seperti ini saya tidak dapat menerimanya,” jelas Zainuddin menerusi blognya. – 28 Ogos, 2013.