Selasa, 20 Agustus 2013

Identiti Ibu Didakwa Dera Anak 5 Tahun Didedahkan

CHOONG dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk dibicarakan pagi semalam atas tuduhan mendera anaknya hingga koma.
[HM] Ipoh: Seorang suri rumah hanya menekup muka dengan tangan selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas dua tuduhan menganiaya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap anak perempuannya berusia lima tahun pada 12 Ogos lalu.

Choong Mee Chin, 30, didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana memukul kepala dan seluruh badan mangsa dengan menggunakan kayu rotan di ruang tamu rumahnya di No 19, Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu, di sini, pada kira-kira jam 9 pagi, pada hari berkenaan.

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) iaitu sengaja mendatangkan cedera parah ke atas mangsa pada masa, tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Hulu Kinta.

Tertuduh yang didakwa di hadapan Majistret Suhaima Mohd Noor tidak menunjukkan sebarang reaksi selain hanya menekup muka ketika dibawa masuk dan keluar dari mahkamah.

Berita awal di sini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar