[HM] Prabumulih (Indonesia): Ketua Pendidikan daerah ini semalam mencetuskan kemarahan selepas mencadangkan pelajar perempuan menjalani ujian dara sebelum dibenarkan memasuki sekolah menengah tinggi.
Aktivis menuduh Muhammad Rasyid mempromosikan ‘keganasan seksual terhadap wanita’ selepas dia menyarankan rancangan itu berikutan penahanan enam pelajar sekolah tinggi yang terbabit dalam pelacuran.
“Jika diluluskan, ujian dara akan dilaksanakan tahun depan,” kata Muhammad yang juga Ketua Pendidikan daerah Prabumulih di Sumatera.
Ujian itu akan dijalankan kepada pelajar yang memasuki sekolah menengah tinggi.
Di Indonesia, pelajar sekolah menengah tinggi berusia antara 16 hingga 19 tahun.
“Kami akan cuba memasukkan rancangan itu dalam belanjawan 2014,” katanya mengenai cadangan itu.
Dia bagaimanapun berkata, ia perlu mendapat kelulusan datuk bandar dan majlis tempatan.
“Kami akan menjalankan ujian itu setiap tahun,” katanya.
Cadangannya itu mencetuskan kemarahan dengan Menteri Pendidikan Mohammad Nuh berkata: “Jika kamu mahu melindungi anak kamu daripada pengaruh negatif, terdapat cara lain. Ujian dara bukan caranya.”
Cadangan Muhammad turut dikritik kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai penindasan terhadap kaum wanita.
“Ujian dara adalah satu bentuk diskriminasi dan merendahkan martabat wanita,” katanya.
Timbalan Datuk Bandar Ardiansyah Fikri berkata, pihak berkuasa tempatan tidak akan menyokong cadangan itu.
Bagaimanapun, katanya, program pendidikan dan keagamaan sedang dibincangkan bagi menangani masalah sosial di kalangan pelajar di bandar raya itu. - AFP
Tidak ada komentar:
Posting Komentar