Jumat, 31 Mei 2013

Bayi Terperangkap di dalam Paip Tandas Diserahkan kepada Ibunya



[Kosmo] BEIJING - Bayi baru lahir yang diselamatkan dari saluran paip kumbahan di China diserahkan kepada ibunya selepas pihak berkuasa mengesahkan bayi itu terperangkap kerana kemalangan, kata seorang pegawai tempatan semalam.

Bayi lelaki itu dibawa pulang dari hospital oleh ibunya yang belum berkahwin yang datang bersama seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada anak tersebut.

Seorang pegawai di sebuah pejabat propaganda daerah Pujiang berkata, lelaki itu akan membuat ujian untuk mengesahkan sama ada bayi tersebut ialah anaknya.

Jika ujian itu mengesahkan bayi itu ialah anaknya, dia bersedia berbincang dengan wanita tersebut cara untuk membantu membesarkannya.

Pihak berkuasa juga masih tidak mendedahkan identiti pasangan tersebut.

Kes tersebut telah mencetuskan perdebatan mengenai kekurangan pendidikan seks dan cara melahirkan bayi yang betul di kebanyakan sekolah di China.

Pihak polis juga memutuskan bahawa wanita bujang berusia 22 tahun itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana dia memberitahu perkara yang sebenar walaupun pada awalnya enggan tampil kepada pihak berkuasa kerana diselubungi ketakutan.

Wanita itu memberitahu polis dia mengandung selepas melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dan merahsiakan kehamilan itu daripada keluarga serta jiran.

Dia kemudian melahirkan bayi tersebut di dalam tandas di rumah sewanya di bandar Jinhua, wilayah Zhejiang, China.

Bagaimanapun, bayi tersebut terjatuh di dalam saluran tandas cangkung itu pada Sabtu lalu.

Bayi seberat 2.8 kilogram itu terperangkap di dalam saluran paip berbentuk L di bawah tandas cangkung apabila anggota bomba tiba di bangunan sewa tersebut.

Bayi itu kemudian dibawa ke sebuah hospital supaya kerja-kerja memecahkan paip tersebut dibuat tanpa mencederakan bayi berkenaan. - AP


Berita awal di sini.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar