Selasa, 10 September 2013

Wang Malaysia Mengalir ke Bangladesh Sebanyak AS1 Bilion Dolar Setiap Tahun



[TMI] Syarikat kiriman wang Bangladesh, CBL Money Transfer Sdn Bhd mendedahkan transaksi wang dari Malaysia ke Bangladesh mencecah kira-kira USD1 bilion setiap tahun.

Pengerusinya, Aziz Al Kaiser, berkata CBL diwujudkan bagi membolehkan sejuta warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dapat mengirim wang mereka kembali ke kampong halaman menerusi saluran yang betul.

"Kami menyediakan sistem kiriman wang yang mematuhi undang-undang kerana CBL menjalani proses temuduga dengan Bank Negara selama lapan bulan bagi memastikan kewujudan kami di Malaysia mengikut peraturan Malaysia.

"CBL kini menanam modal sebanyak RM2.6 juta dan akan meningkat kepada RM4.1 dalam masa dua minggu.

"Bank Negara menganugerahkan kami lesen cawangan tanpa had dan kini dua cawangan dibuka iaitu di Kuala Lumpur dan Melaka," katanya ketika merasmikan cawangan barunya hari ini.

CBL mensasarkan 25 cawangan akan dibuka di Malaysia dalam masa 2 tahun memandangkan 1.4 juta lagi pekerja Bangladesh akan datang ke negara ini.

Syarikat kiriman wang itu turut dilengkapi dengan sistem anti penggubahan wang haram yang dilengkapi perisian dan peranti yang dapat mengesan aktiviti haram itu.

"Kehadiran kami diharapkan dapat membantu pekerja yang berkhidmat di Bangladesh dengan perkhidmatan yang pantas, tepat dan memberikan kadar yang baik kepada pelanggan.

City Bank Limited Bangladesh (CBL) merupakan bank perdagangan tertua di negara itu dan diasaskankan pada Mac 1983. - 10 September, 2013.


P/s: Tahun depan BN seperti yang dilaporkan oleh akhbar akan mengimport 1.4 juta pekerja Bangladesh.
\
Sekarang anda boleh nampak salah satu punca nilai RM semakin merundum.





RM Jatuh, Kedudukan Universiti Pun Jatuh


Mengapa kedudukan IPTA di Malaysia merosot?

[MK] Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:

Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
  • Reputasi pencapaian akademik (40%)
  • Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
  • Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
  • Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
  • Keantarabangsaan pelajar (5%)
  • Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdaya saing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.

Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr-Saunders. 

Pada 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan NUS di Singapura.

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
  • Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
  • Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
  • Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
  • Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
  • Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia

Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu. - Rafizi Ramli.



Senin, 09 September 2013

[Kemas Kini] GB SK Pristana NAFI Mohon Maaf kepada Ibu Bapa, Laporan Bercanggah


Laporan TMI yang mengatakan GB itu memohon maaf:

[TMI] Guru besar sekolah kontroversi, SK Seri Pristana memohon maaf kepada ibu bapa atas pelbagai aduan yang dilaporkan terhadap sekolah itu berkaitan kejadian murid makan dalam bilik persalinan.

Guru besar, Mohd Nasir Mohd Noor (gambar) membuat permohonan maaf itu pagi semalam dalam mesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pegawai jabatan pendidikan negeri dan ibu bapa murid yang diintimidasi dan dibuli berikutan kejadian itu.

Sekolah itu dilanda kontroversi selepas seorang ibu yang prihatin memuat naik gambar murid bukan Islam makan dalam bilik persalinan pada bulan Ramadan atas arahan guru besar.


Setiausaha Kebangsaan Malaysian Tamilan Today, K Gunasegaran memberitahu The Malaysian Insider, tujuh ibu bapa kepada murid yang terkesan daripada kejadian itu hadir pada mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mahmud Karim, yang berjumpa dengan Mohd Nasir dan guru sekolah berkenaan pada Rabu lalu, turut hadir di mesyuarat itu.

Gunasegaran berkata, Mohd Nasir meminta maaf atas kejadian makan dalam bilik persalinan, membenarkan murid disoal siasat oleh polis tanpa kebenaran ibu bapa dan juga kerana membuli dan mengintimidasi murid yang berlanjutan selepas isu itu menjadi perhatian ramai.

Selain itu, katanya, Mahmud mencadangkan supaya seorang pegawai daripada jabatan pendidikan ditempatkan di sekolah berkenaan sebagai pemerhati sekurang-kurangnya bagi tempoh sebulan. – 10 September, 2013.


Laporan Mstar yang mengatakan GB itu menafikan ada membuat permohonan maaf:

Guru Besar SK Seri Pristana Nafi Mohon Maaf

[Mstar] PETALING JAYA: Guru besar sekolah kontroversi, SK Seri Pristana menafikan telah meminta maaf kepada ibu bapa berhubung penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara di sekolah berkenaan.

"Saya tidak pernah memohon maaf kepada ibu bapa kerana saya menganggap perkara itu sudah diselesaikan," kata Mohd Nasir Mohd Noor ketika mengulas laporan bahawa beliau telah memohon maaf kepada sekumpulan ibu bapa semasa mesyuarat pada Isnin.

Satu laporan dalam talian menyatakan Mohd Nasir, yang telah mengarahkan pelajar bukan Islam di sekolah berkenaan untuk makan di bilik mandi pada bulan Ramadan, memohon maaf ketika mesyuarat pagi Isnin dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pegawai-pegawai jabatan pendidikan negeri dan ibu bapa murid-murid yang terlibat.

Mohd Noor memberitahu The Star bahawa Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Mahmud Karim, turut menghadiri mesyuarat tersebut untuk mendengar rungutan ibu bapa.

"Bagaimana saya dapat bercakap apabila pegawai atasan saya berada di sana pada mesyuarat itu," katanya pada hari Selasa. -10/9/13


P/s: Panas balik!



[Wajib Baca] PKR: Kupasan tentang Keadaan Ekonomi Negara, Kenaikan Harga Minyak & Kesannya kepada Masyarakat


Harga Minyak Naik: Dato’ Seri Najib Bebankan Rakyat Atas Kegagalan Sendiri

[RafiziRamli.com] Pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel sewajarnya ditolak oleh rakyat seperti yang banyak disuarakan di laman-laman sosial dan media. Kenaikan ini membebankan rakyat terbanyak dan dijadikan alasan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup kegagalannya mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Perkembangan-perkembangan terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin lemah telah menimbulkan pelbagai keraguan yang negatif terhadap kemampuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ini termasuklah:

1. Laporan Fitch yang menuruntarafkan prospek ekonomi negara menjadi negatif, iaitu kali pertama ia berlaku dalam sejarah negara melihatkan kadar keberhutangan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan penyelesaian dari Dato’ Seri Najib Tun Razak

2. Mata wang ringgit telah hilang nilainya dan susut secara mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas

3. Pertumbuhan ekonomi yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut

Apa yang dituntut oleh rakyat, pasaran, pelabur dan juru analisa adalah satu pelan ekonomi yang menyeluruh yang menangani tiga masalah utama ekonomi negara iaitu:

1. Keberhutangan kerajaan yang melampau sehingga menjejaskan masa depan kewangan negara

2. Keborosan kerajaan yang tidak kenal penghujung sehingga berbelanja melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut

3. Daya saing ekonomi negara yang semakin malap kerana dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan rasuah, penyelewengan, kurang daya kreativiti dan tiada tambah nilai

Sebaliknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya mengambil jalan pintas dengan memotong subsidi rakyat yang kesannya kepada ekonomi negara tidak seberapa berbanding dengan perbelanjaan yang lain termasuklah subsidi korporat yang lebih besar nilainya.

Fakta-fakta ekonomi membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah di bawah pentadbiran beliau dan tidak adil kepada rakyat:

1. Belanja subsidi lain lebih besar dan subsidi korporat wajar dipotong dahulu sebelum subsidi rakyat

Seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, kenaikan harga minyak akan menjimatkan subsidi minyak tahunan sebanyak RM3.3 bilion dalam tahun 2014 ke atas. Beliau juga mengumumkan bahawa anggaran jumlah subsidi yang ditanggung tahun depan (berikutan kenaikan harga minyak ini) adalah RM24.8 bilion.

Setiap tahun, anggaran jumlah penggunaan petrol dan diesel adalah sebanyak 10 bilion liter (petrol) dan 6.5 bilion liter (diesel) . Pada kadar subsidi sebanyak 83 sen bagi seliter petrol dan RM1 bagi seliter diesel, jumlah subsidi petrol dan diesel adalah sebanyak RM14.8 bilion setiap tahun, iaitu hanya 59% dari jumlah subsidi bahan api yang dibelanjakan kerajaan.

Sejumlah RM10 bilion subsidi (atau 41% peratus) setiap tahun adalah subsidi gas dan LPG yang ditanggung oleh kerajaan. Ini tidak termasuk anggaran subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) sebanyak sekitar RM8 bilion setiap tahun.

Ini bermakna, subsidi korporat yang diberikan melalui subsidi gas kepada industri dan penjana bebas (dianggarkan sekitar RM13 bilion setiap tahun) adalah hamper sama dengan subsidi petrol dan diesel yang diberikan kepada rakyat.

Sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa kita menentang sebarang kenaikan harga minyak selagi subsidi korporat (dalam bentuk subsidi gas kepada industri dan penjana bebas) tidak distrukturkan semula kerana adalah tidak adil menghukum rakyat kebiasaan yang sudah pun bergelut dengan kesempitan kewangan sedangkan kroni dan sektor korporat tidak disentuh langsung.

Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen adalah bersamaan memotong subsidi minyak rakyat sebanyak 22% setahun, sedangkan penjana bebas yang kaya terus menikmati subsidi korporat.

2. Rakyat golongan sederhana dan miskin paling terkesan dengan kenaikan harga minyak

Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan keluarga adalah seperti berikut:


Pendapatan bulanan isirumah (RM)
% belanja isirumah membiayai petrol dan diesel
<500 p="">
35
500 – 1,000
27
1,000 – 2,000
25
2,000 – 3,000
22
3,000 – 4,000
20
> 4,000
10

Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka.

KEADILAN menganggarkan secara purata sebuah isirumah yang mempunyai sebuah kereta menggunakan sebanyak 313 liter petrol atau diesel setiap bulan . Kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen sudah tentu akan menambah secara purata perbelanjaan tambahan sebanyak RM63 sebulan atau RM752 setahun.

Jumlah ini adalah besar dan benar-benar akan membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

3. Bantuan BR1M tidak memadai dengan kenaikan belanja dan tidak menyelesaikan kepincangan ekonomi negara

Janji Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa penjimatan dari kenaikan harga minyak ini akan digunakan untuk menyalurkan BR1M yang lebih tinggi adalah tidak bertanggungjawab.

Pertamanya, jumlah BR1M (kalau pun dinaikkan nilainya) tidak berpadanan dengan tanggungan belanja setiap isirumah. Selain dari belanja petrol dan diesel yang meningkat sebanyak RM752 setahun (yang nilainya lebih tinggi dari BR1M), setiap isirumah juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhannya akibat inflasi. Jumlah tanggungan adalah jauh lebih tinggi dari nilai RM500 BR1M yang ditawarkan.

Keduanya, hanya sebahagian rakyat Malaysia yang menerima BR1M iaitu sekitar 40% isirumah, sedangkan 40% lagi golongan sederhana yang turut terkesan tidak mendapat sebarang bantuan.

Lebih membimbangkan, pendekatan mengagihkan bantuan melalui BR1M bersifat politik yang boleh mewujudkan budaya pergantungan di kalangan rakyat termiskin sedangkan yang mereka perlukan adalah subsidi yang menurunkan kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik yang membebaskan mereka dari perangkap kemiskinan.

4. Harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola penurunan sejak kenaikan minyak kali terakhir (Disember 2010)

Kenaikan harga petrol dan diesel pada kali ini adalah pertama kalinya dibuat pada masa harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola penurunan.


Harga minyak mentah Brent (dalam USD setiap tong)

Sebelum ini, Barisan Nasional sering memberi alasan bahawa harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan oleh kerana harga minyak mentah yang meningkat membebankan negara. Namun, sejak April 2011, sebenarnya harga minyak mentah telah mencatatkan pola penurunan dalam tempoh dua tahun.

Tidak pernah sekali pun harga petrol dan diesel diturunkan apabila harga minyak mentah ini menurun di pasaran dunia. Sepatutnya pola penurunan itu memungkin kerajaan berjimat kerana belanja subsidi petrol dan diesel stabil. Peluang itu disia-siakan dan sebaliknya akibat keborosan, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel pada ketika harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan dalam tempoh 2 tahun yang lepas.

Berdasarkan 4 fakta-fakta ekonomi di atas, KEADILAN percaya bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Oleh kerana beliau bertanggungjawab di atas keputusan ini, maka wajarlah beliau jua meredakan kemarahan rakyat dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:

1. Mengumumkan kepada rakyat bahawa tidak ada lagi sebarang kenaikan harga atau tariff yang lain dalam tempoh satu tahun bermula dari hari ini

2. Mengarahkan bahawa semua Menteri dan Timbalan Menteri membayar sendiri petrol dan diesel yang selama ini ditanggung oleh kerajaan dengan memansuhkan kemudahan petrol dan diesel berbayar

3. Membenarkan YB Khairy Jamaluddin berdebat dengan wakil KEADILAN mengenai isu ini kerana sudah pasti YB Khairy Jamaluddin sedia berdepan sekiranya tidak disekat oleh UMNO, sepertimana kesudian beliau dalam isu PTPTN dulu


DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

3 SEPTEMBER 2013



P/s: Bila kita dapat melihat pemimpin muda PAS membuat kajian dan pendedahan begini? 




Beg Tangan dan Dokumen Pengenalan Diri Ustzah Terbabit Kemalangan Maut Dicuri?


Dokumen Pengenalan Diri Mangsa Hilang

[HM] Kajang: Urusan menyempurnakan jenazah Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anaknya yang terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 8 Jalan Bangi-Kajang, berhampiran Jambatan Teras Jenang, di sini, semalam tergendala berikutan dokumen pengenalan diri mangsa serta anak-anaknya hilang di tempat kejadian.

Pengasuh anak mangsa, Normi Daud, 46, berkata, sejurus menerima panggilan daripada suami mangsa kira-kira jam 12.40 tengah hari memaklumkan kejadian, dia terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya diarahkan suami mangsa untuk membawa dokumen pengenalan diri mangsa dan anak-anak yang ada di lokasi kejadian ke Bilik Mayat Hospital Serdang (HS) bagi urusan pengendalian jenazah.

“Namun, puas saya mencari beg tangannya, tapi tidak jumpa sebelum dimaklumkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bahawa beg itu sudah hilang. “Tanpa membuang masa, saya terus ke HS bersama suami,” katanya yang menjaga tujuh anak mangsa sejak kecil lagi. Sementara itu, Penolong Kanan Petang Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi Siti Azurani Md Tin, 35, berkata, selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia bersama kira-kira 10 guru lain terus ke HS.

“Sejak mengenali mangsa beberapa tahun lalu, arwah seorang yang suka berjenaka dan menghormati orang lain.

“Sifatnya yang lemah-lembut dan suka memberi senyuman menyenangkan semua orang berkawan dengannya. Begitu juga dengan anak murid yang begitu menyayanginya.

“Walaupun kami semua menyayanginya, namun Allah SWT lebih sayangkan dia. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan anggap ia sebagai ujian daripada-Nya,” katanya.

Katanya, arwah dan suami mengajar di sekolah itu lebih 10 tahun sebagai guru agama, manakala tiga anaknya turut bersekolah di sekolah sama. -10/9/13

Berita lanjut di sinidi sini, di sini.


P/s: Selalu kita dengar beg tangan atau barang berharga magsa kemalangan dikebas oleh penyangak yang turut sama berkerumun kononnya mahu membantu mangsa kemalangan. Dalam diam mereka mengambil kesempatan mencuri barang berharga mangsa. Perbuatan golongan ini sungguh jijik dan hina!

Takziah dan simpati TM untuk keluarga mangsa. Semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah ini. 


Suami di Penjara, Isteri Buat Onar dengan Lelaki Lain


[SH] KLUANG – Ketiadaan suami akibat dipenjara atas kesalahan dadah menjadi ‘tiket’ buat seorang isteri berlaku curang bersama kekasihnya.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup bersama teman lelaki di rumahnya di sini, semalam.

Kelakuan sumbang yang difahamkan berlaku sejak lebih sebulan lalu oleh penduduk setempat yang pada mulanya menyangka lelaki terbabit adalah suaminya.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Khalil Md Noor berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, satu pasukan anggota penguat kuasa Jaij melakukan serbuan ke rumah wanita terbabit.

“Setibanya di rumah berkenaan, pihak kami mendapati keadaan rumahnya gelap dan hanya lampu di bahagian dapur dipasang. Sebuah motosikal yang digunakan lelaki tersebut diletakkan di bahagian belakang rumah kononnya untuk mengaburi orang ramai agar tidak mengetahui kehadiran lelaki berkenaan.

“Selepas disiasat, pihak kami mendapati ada penghuni di rumah tersebut kerana kipas angin di ruang tamu terpasang selain terdapat kelibat pergerakan manusia menerusi cermin tingkap,” katanya.

Mohd Khalil berkata, selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, pihaknya terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum seorang wanita bersama seorang lelaki berusia 29 tahun membuka pintu.

Ketika soal siasat dijalankan katanya, pasangan berkenaan menyatakan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.

“Namun hasil pemeriksaan dijalankan, pasangan terbabit gagal menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mereka mengaku merancang untuk bernikah selepas wanita berkenaan bercerai.

“Apa yang lebih mengejutkan adalah anak perempuan wanita tersebut yang berusia empat tahun turut tidak mempunyai sah taraf melalui pemeriksaan terhadap surat beranak milik kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 27 (1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kami juga akan membuat siasatan lanjut ke atas kanak-kanak tersebut bagi menentukan kedudukannya yang sebenar,” katanya. -10/9/13


Kecewa Isteri Tiada Dara, Lelaki Perkosa 2 Anak Saudara


[HM] Asuruan: Polis semalam menangkap seorang lelaki yang memperkosa anak saudara isterinya berulang kali sejak empat tahun lalu.

Ketika disoal siasat mengenai tindakannya itu, buruh ladang berkenaan berkata, dia bertindak demikian sebagai membalas dendam terhadap isterinya yang sudah tidak mempunyai dara apabila mereka berkahwin.

“Saya dendam keluarga isteri saya kerana dia bukan lagi perawan ketika saya mengahwininya,” kata seorang anggota polis memetik kata-kata lelaki terbabit. 

Menurut polis, kedua-dua mangsa berusia 14 dan 17 tahun ketika mula diperkosa. Selain mengancam membunuh kedua-dua mangsa jika mereka mendedahkan perbuatannya, lelaki itu juga mengugut akan menyebarkan video pemerkosaannya ke atas mereka yang dirakam menerusi telefon bimbitnya.

Jurucakap polis Pasuruan AKP Supriyono Kamis berkata, lelaki itu memperkosa mangsa pada siang hari ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.

Perbuatannya hanya terbongkar selepas mangsa memberitahu ibu bapa mereka mengenainya minggu lalu.

Menurut Supriyono, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun jika sabit kesalahan. - 9/9/13



[PANAS] Kes Altantuya: KPN Kata Tiada Siasatan Baharu, Hormati Keputusan Mahkamah


IGP: Tiada siasatan baru kes bunuh Altantuya

[MK] Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan menjalankan siasatan baru ke atas kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

“Saya rasa tidak perlu, Kenapa kita perlu jalankan siasatan baru?,” kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

“Semua orang perlu hormati keputusan mahkamah,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos lalu membebaskan dua pegawai polis yang didakwa membunuh Altantuya dan meletupkan mayat wanita tersebut. - 9/9/13





Isu Harga Rumah: Ku Nan Kata Jangan Merungut!


Ku Nan: Jangan Beli Hartanah Jika Rasa Pemaju Menipu

Putrajaya hari ini berkata, mereka yang merungut berkenaan kenaikan harga hartanah tidak perlu membelinya jika berasakan pemaju menaikkan harga hartanah sesuka hati, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar).

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, harga rumah ditentukan oleh pasaran dan orang ramai harus berhenti merungut.

"Kamu semua merungut. Semua harga naik sedih dan nak hidup yang senang … kadang-kala kita perlu bayar untuk menikmati semua ini," katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan persatuan pemaju ekoran kenaikan harga bahan api sebanyak 20 sen seliter yang dijangka memberi kesan kepada harga rumah sehingga 10 peratus. - 9 September, 2013.


P/s: Sebelum PRU13, beranikah Ku Nan bersuara begini?

Bagi yang mengharapkan Kerajaan BN mengawal harga rumah, saya ucapkan takziah. Selama ini pun harga rumah naik mencanak tanpa dapat dikawal oleh Kerajaan BN.

Bagi yang mencari rumah dan sudah menjumpainya, cepat-cepat membelinya sebelum harga rumah itu dinaikkan oleh pemaju!


Minggu, 08 September 2013

Pengantin Kanak-kanak Bersuamikan Lelaki Ganas Meninggal Dunia

Sekadar hiasan.



Menurut berita di atas, kanak-kanak malang berusia 8 tahun itu dikahwinkan dengan lelaki lima kali lebih tua daripada usianya. 

Kanak-kanak itu meninggal dunia selepas melalui malam pertama yang amat kejam dan mengerikan. Menurut laporan di atas, mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius dan kemaluannya koyak teruk.

Pelbagai pihak menggesa lelaki gila seks serta keluarga kanak-kanak malang itu dikenakan tindakan undang-undang. -DCM


P/s: Gila kejam. Lahanat!

Kejadian seumpama ini sudah banyak kali berlaku di Timur Tengah.




Awas, Penyegar Udara Kenderaan Boleh Rosakkan Organ Dalaman



[Mstar] PETALING JAYA: Penyegar udara yang sering diletakkan di dalam kereta kita ataupun di rumah mungkin berbau nyaman tetapi ia boleh mendatangkan kemudaratan tanpa kita sedari.

Enam produk penyegar udara yang biasa digunakan yang ditemui di pasar raya dan kedai di seluruh negara telah diuji oleh sekumpulan pengguna, mengandungi empat bahan kimia berbahaya iaitu - toluena, benzena, formaldehid dan phthalates.

Kesemua produk didapati mengandungi salah satu daripada bahan kimia terbabit pada paras tertinggi dengan phthalates - bahan mengganggu sistem endokrin (EDS) - terkandung dalam empat daripada enam produk tersebut.

Pendedahan dalam tempoh yang lama kepada EDS boleh menjejaskan sistem imun dan otak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Ratna Devi Nadarajan yang menjalan ujian itu, EDS boleh menyebabkan lelaki berkelakuan lebih feminin dan sebaliknya.

"Ia juga boleh membantutkan perkembangan organ-organ penting dan menyebabkan keguguran. Tahap kerosakan, bagaimanapun, bergantung kepada kesihatan individu, dengan wanita hamil dan kanak-kanak berdepan risiko tinggi," katanya.

Ratna berkata sesetengah penyegar udara ditemui mengandungi campuran beberapa jenis phthalates yang jauh lebih berbahaya.

Dua daripada penyegar udara ditemui mengandungi toluena yang boleh merosakkan hati, buah pinggang dan otak jika terdedah terlalu lama kepada produk itu.

Persatuan itu turut menemui penyegar udara buatan tempatan mengandungi bahan kimia yang tinggi iaitu toluena dan tiga jenis phthalates.

Ratna menjelaskan kebanyakan orang di luar sana terutama di kawasan bandar menghabiskan beberapa jam dalam kereta setiap hari, menghidu bahan kimia dari penyegar udara itu.

"Sekurang-kurangnya, bahan kimia ini boleh menyebabkan sakit kepala, loya dan kemurungan," katanya.

Apabila berada dalam persekitaran yang terhad seperti di dalam kereta dengan udara segar yang amat sedikit, beliau berkata bahan kimia itu lebih berbahaya.

Ratna berkata mereka masih menunggu data mengenai had dan praturan penyegar udara dari pengawal selia tempatan serta negara-negara lain untuk melakukan perbandingan.

Beliau menasihatkan para pengguna untuk mengelakkan penggunaan penyegar udara terlalu kerap dan memilih pengudaraan secara semula jadi dan mementingkan kebersihan di rumah. Ratna mencadangkan alternatif semula jadi seperti daun pandan, serai dan arang. -9/9/13

Harga Minyak Malaysia Naik Tidak Sejajar dengan Harga Minyak Mentah


[HD] KUALA LUMPUR: Kenaikan terbaru harga minyak disifatkan tidak sejajar dengan trend kenaikan harga minyak mentah sejak dua tahun lalu sekiranya benar harga kenaikan ditentukan oleh harga pasaran.

Malah, kuota pengeluaran Pertubuhan Negera Pengeluar Minyak (OPEC) juga tidak menunjukkan sebarang perubahan yang mengekalkan kuota pengeluaran kepada 30 juta tong sehari dan ianya ke dilihatkal sejak dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr. Dzulkefly Ahmad berkata ini ditambah dengan pengeluaran Shale Oil yang semakin meningkat dari Amerika Syarikat yang kini mengeluarkan tujuh juta tong sehari dari simpanan Shale Oil.

"Kadar pengeluaran ini dilaporkan akan terus meningkat ke sembilan juta tong sehari dalam tempoh terdekat. Sebagai pengimpot dan pengguna minyak terbesar dunia, sudah pasti ini akan menstabilkan lagi pasaran minyak dunia lantas harga minyak pasti lebih mapan," kata beliau kepada Harakahdaily.

"Justeru, berdasarkan fakta ini, maka tidak logik Malaysia menaikkan harga minyak kerana tidak wujud suasana tekanan pasaran. Sebaliknya, tindakan kerajaan BN ini didorong bagi menampung perbelanjaan kerajaan yang semakin meruncing akibat pembaziran pada pilihan raya umum lalu," tegas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat itu.

Malah, tambah beliau, beban hutang kerajaan yang semakin parah juga menyebabkan kerajaan bertindak menaikkan harga minyak dengan alasan rasionalisasi dan pengurangan subsidi.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter, kemudian sehari selepas itu harga RON97 dinaikkan RM0.15 seliter tanpa sebarang pengumuman awal.

Kenaikan harga minyak itu menimulkan pelbagai reaksi, khususnya yang melahirkan kebimbangan terhadap bebanan yang terpaksa dihadapi ekoran kenaikan tersebut. -8/9/13

Pelajar Gagal Besar Payudara Ancam Bunuh Diri

Sekadar hiasan.

[HM] Beijing: Seorang pelajar kolej mengancam membunuh diri dengan terjun dari bumbung bangunan sebuah klinik pembedahan plastik.

Pelajar berkenaan bertindak demikian selepas implan payudaranya ditanggalkan kerana masalah perubatan.

Dia berdiri di tepi bumbung Hospital Perubatan Kecantikan Fuhua selama beberapa jam, mengancam untuk terjun selepas gagal mendapatkan pampasan daripada klinik itu.

Anggota keselamatan bagaimanapun berjaya memujuknya supaya membatalkan niatnya itu.

Pelajar berkenaan sebeleum itu membuat pembedahan membesarkan payudaranya sebagai persediaan untuk temuduga bagi mendapatkan pekerjaan. Ramai pelajar wanita di China percaya peluang memperoleh pekerjaan lebih terbuka jika mereka mempunyai payudara besar.

Kebanyakan pusat kecantikan di negara berkenaan menyasarkan pelajar wanita yang hampir tamat pengajian dengan menawarkan diskaun sehingga 65 peratus untuk menjalani pembedahan membesarkan payudara bagi meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan. - Agensi - 8/9/13




[Kajian] Coklat Panas Mampu Rawat Alzheimer



[BH] Washington: Satu kajian yang dijalankan penyelidik Amerika Syarikat mendapati amalan meminum dua cawan coklat panas setiap hari, mampu meningkatkan ketajaman otak di kalangan orang dewasa.

Masalah dimensia atau hilang daya ingatan berpunca daripada kelainan yang berlaku, mendorong pakar neurologi, Farzaneh Sorond dari Sekolah Perubatan Harvard menjalankan kajian untuk memahami bagaimana aliran darah di otak mempengaruhi kemampuan seseorang untuk berfikir. 

Gangguan aliran darah 

Beliau kemudian membuat penelitian ke atas 60 responden, kebanyakannya berusia 73 tahun yang tidak terkena Dimensia, bagaimanapun, 18 orang daripada mereka didapati mengalami gangguan aliran darah ke otak mereka.

Mereka kemudian diminta meminum dua cawan coklat panas setiap hari selama sebulan sebelum menjalani ujian daya ingatan dan berfikir.

Sorond menggunakan kaedah ultrasound untuk mengukur kadar aliran darah ketika ujian dilakukan.

“Apa yang saya dapati ialah aliran darah ke bahagian tertentu otak semakin meningkat, begitu juga fungsinya ketika diberi tugas kognitif,” katanya. 
Ada hipotesis yang menyatakan bahawa bahan antioksida flavanol, yang ada di dalam coklat dapat meningkatkan daya kognitif.

Bagaimanapun, pakar penyakit Alzheimer, Paul Rosenberg dari Universiti John Hopkins yang menulis sebuah esei untuk melengkapkan penelitian Sorond dalam jurnal Neurology, menyatakan bahawa teori itu tidak sepenuhnya benar.

“Sorond menguji coklat dengan sedikit kandungan flavanol dan yang tinggi kandungan bahan itu tetapi mendapati tiada perbezaan di dalam hasilnya,” katanya.

Penawar penyakit

Rosenberg bagaimanapun menyifatkan kajian Sorond sebagai langkah pertama yang penting ke arah kajian lebih terperinci pada masa depan bagi mencari penawar penyakit Alzheimer.

“Kami tidak akan mengatakan minumlah coklat panas sekarang, tetapi ada kemungkinan wujud bahan dengan nilai ubat di dalam koko. Jadi tiada salahnya kita menikmati coklat panas yang dienakkan lagi dengan tambahan krim putar. Ia benar-benar lazat,” katanya. AGENSI - 8/9/13



Harga Barang Naik: Fathul Bari Bela Kerajaan 48.67% Guna Hadis, Dr Maza Sindir?





..kepada yang menggunakan hadis harga barang untuk menyokong kenaikan harga, sila rujuk tafsiran bagi hadis itu di sini..apakah jika anda ke kedai lalu penjual menjual barang dengan harga yang mahal, maka adakah dia boleh menyatakan 'Allah yang menaikkan harga bukan saya?!



..jangan sampai nanti ada pembunuh yang akan berhujah bukan saya membunuh tapi Allah yang menetapkan ajal, pencuri pula akan berkata bukan saya yang mencuri, tapi Allah yang menetapkan rezeki...kerana saya berpegang dengan kata-kata ILMU bukan kerajaan yang mengurangkan subsidi tapi Allah yang menaikkan harga barang..



P/s: Betullah ada dua jenis ulama pada akhir zaman ini!



Sabtu, 07 September 2013

Anwar Perjelaskan Tujuan Meja Bulat, Nafi Tubuh Kerajaan Perpaduan


[SH] KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal apabila cadangannya untuk mengadakan dialog terbuka dengan kerajaan diputarbelitkan pemimpin Umno.

Anwar juga mengulangi pendirian dan menafikan bahawa dialog kebangsaan itu bukannya untuk membincangkan soal kerajaan perpaduan seperti mana yang dilakukan oleh sebilangan kecil bekas pemimpin Pas tidak lama dahulu.

"Dia (Khairy) tidak baca mesej merdeka saya, kenyataan saya hanya merujuk kepada hal itu (dialog).

"Saya hanya sentuh empat isu iaitu tadbir urus, jenayah, ekonomi dan hubungan kaum," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno mempersoalkan cadangan dialog terbuka itu.

Hishammuddin juga mengakui isu itu antara dibincang dalam mesyuarat MT Umno pada 30 Ogos lalu yang mencapai keputusan kolektif dan menyuarakan kemusykilan terhadap niat sebenar usul itu dikemukakan sekian lama Anwar mengambil pendekatan tidak berkompromi dengan sebarang rundingan dengan Umno.

Dalam pada itu, Anwar juga mempersoalkan tindakan Khairy yang mempertikaikan cadangannya dengan menyifatkan ia sebagai kegagalan Umno dan kepimpinannya.

Beliau menegaskan Khairy juga perlu berani menyahut seruannya mengadakan dialog terbuka dengan kerajaan bagi membincangkan 'isu-isu kebangsaan'.

"Dia (Khairy) pun takut untuk berdialog, apa yang dia mahukan? Berdebat pun dia tidak bersedia, apatah lagi berdialog secara terbuka.

"Tiada negara demokrasi yang mana kerajaannya menolak untuk mengadakan dialog dengan pembangkang," katanya lagi.




Budak 6 Tahun Diarah Kahwini Anak Perogolnya



[HM] New Delhi: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikunci dalam bilik sebelum diperkosa dipaksa berkahwin dengan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang juga anak perogolnya.

Mangsa yang tinggal di Kampung Keshavpura di Rajasthan diserang lelaki berusia 40 tahun itu kira-kira dua minggu lalu. 

Keluarganya mengadu pada jawatankuasa kampung itu yang kemudian mengadakan mesyuarat bagi memutuskan tindakan yang patut diambil terhadap perogol terbabit. 

Jawatankuasa berkenaan akhirnya memberitahu ibu bapa mangsa agar mengahwinkan anaknya dengan anak perogol berkenaan.

Keluarga mangsa bagaimanapun enggan menerima cadangan berkenaan.

Sementara itu, mangsa dipercayai dirogol sekali lagi oleh lelaki sama Rabu lalu, menurut NDTV. 

Kes itu adalah kejadian terbaru dalam beberapa siri serangan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di India, termasuk serangan maut terhadap pelajar perubatan berusia 23 tahun di Delhi akhir tahun lalu dan kejadian rogol jurugambar di Mumbai bulan lalu. 

Dalam kes terbaru di Keshavpura, polis hanya mengetahui mengenainya selepas aktivis membawa mangsa dan ibu bapanya ke balai polis Mahaveer Nagar di Kota untuk membuat laporan. - 7//9/13