[HM] Washington: Bekas pemandu bas yang dipenjarakan seumur hidup kerana menculik, memperkosa dan mengurung tiga wanita untuk dijadikan sebagai hamba seks selama sedekad didapati menggantung diri di selnya semalam.
Pihak berkuasa berkata, kematian Ariel Castro menyebabkan kes yang menggemparkan itu berakhir dengan mendadak dan dramatik.
Pegawai penjara Ohio berkata, Castro ditemui mati tergantung di selnya. Punca dia menggantung diri tidak diketahui.
Sebelum itu Castro diletakkan dalam kurungan bersendirian demi menjaga keselamatannya.
Pegawai penjara berkata, petugas cuba untuk menyelamatkan lelaki berusia 53 tahun itu.
“Dia ditempatkan di pusat tahanan yang dikawal ketat secara bersendirian dan pemeriksaan dilakukan setiap 30 minit.
“Selepas penjara mendapati dia tergantung, kakitangan perubatan melakukan bantuan kecemasan,” katanya.
Castro diumumkan mati kira-kira jam 10.52 malam.
Jurucakap jabatan itu, JoEllen Smith berkata, kajian terperinci terhadap insiden itu sedang dijalankan.
Tulisan dalam satu blog yang diterbitkan pada akhbar Cleveland, The Plain Dealer memaparkan kenyataan yang tiada belas ihsan.
“Selamat tinggal diablo, moga kamu dibakar selama 1,000 tahun sebagaimana hukuman yang kamu terima,” tulisnya merujuk kepada hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 1,000 tahun yang dihadapinya.
“Mengapa tiada gambar dia menggantung diri? Itu baru dinamakan keadilan,” tulis seorang lagi.
Jenayah Castro mengurung tiga wanita itu selama sedekad yang dikenali sebagai menakutkan dan kejam telah menjengkelkan rakyat di seluruh negara itu, selain meraih simpati terhadap tiga mangsa terbabit. Mereka diculik secara berasingan antara 2002 hingga 2004. - AFP - 4/9/13
Tidak ada komentar:
Posting Komentar