[SH] KUALA TERENGGANU- Polis memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes rogol dan samun seorang pekerja wanita di sebuah kafe siber di Jalan Hiliran, di sini, 27 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek yang berusia lingkungan 40-an dan memiliki tatu gambar lipan di betis kiri dan bertulisan bahasa asing di lengan kiri dipercayai bukan warganegara Malaysia.
“Selain itu, bentuk fizikal suspek pula berkulit cerah, berketinggian sederhana, berbadan kurus, berambut pendek dan sedikit beruban,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, 24, baru sahaja membuka premis berkenaan sebelum didatangi suspek yang berpura-pura mahu membeli kad tambah nilai.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberikan sahaja kad tambah nilai yang diminta sebelum suspek memaklumkan hendak menggunakan komputer yang ada di premis berkenaan.
“Tanpa sebarang syak, mangsa kemudian keluar dari kaunter untuk membantu suspek membuka komputer tersebut.
“Bagaimanapun, ketika ingin masuk semula ke dalam kaunter, suspek mengekori mangsa dari arah belakang sebelum mengacukan sebilah pisau di perut mangsa,” katanya.
Manoharan berkata, suspek mengarahkan mangsa tidak berbuat bising dan sekiranya tidak mengikut arahan itu, suspek mengugut akan membunuh mangsa menggunakan pisau berkenaan.
“Bimbang diapa-apakan, mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek sebelum muka dan matanya ditutup menggunakan pita pelekat sementara tangan dan kakinya diikat menggunakan seutas tali.
“Dalam keadaan itulah, mangsa dirogol kemudian suspek mengambil duit di dalam laci di kaunter selain melarikan barangan berharga dipakai mangsa ketika itu,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius selain hanya lebam di kedua-dua tangan kesan diikat dengan kuat.
Kata Manoharan, mangsa yang berjaya membuka ikatan selepas beberapa minit suspek beredar memaklumkan suspek sebelum ini pernah dua kali datang ke kafe siber itu untuk membeli kad tambah nilai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sinar Harian 29 Ogos lalu melaporkan seorang pekerja wanita di sebuah kafe siber bukan sahaja terpaksa berputih mata apabila semua barangan kemas miliknya dilarikan penjenayah, malah lebih menakutkan dia turut diugut bunuh. - 6/9/13
Tidak ada komentar:
Posting Komentar