Cuba baca tajuk berita di atas. "Tambang bas tidak akan dinaikkan-SPAD". Bersorak pengundi BN apabila membaca tajuk berita tersebut. Walhal perincian berita tidak semanis kata-kata pada tajuk berita. Dalam berita itu, SPAD hanya menolak cadangan menaikkan harga tiket bas sebanyak 30% pada musim perayaan Aidilfitri ini, NAMUN membenarkan pengusaha bas mengenakan caj tambahan sebanyak 10% dari 8 Julai hingga 8 September.
Maknanya, pengguna akan menanggung kenaikan harga tiket bas sebanyak 10% pada musim perayaan ini.
Keputusan menolak kenaikan harga tiket sebanyak 30% itu bukanlah bersifat kekal kerana hal ini pasti akan dibangkitkan lagi pada masa depan. Hal ini demikian kerana pengusaha bas terpaksa menanggung kos yang tinggi membabitkan kenaikan harga tayar, minyak, casis/badan bas, alat ganti, dan kos penyelenggaraan. Subsidi minyak yang diberikan kepada pengusaha bas pula hanya untuk jarak tertentu sahaja. Malah pengusaha bas juga perlu memikirkan kos tambahan membabitkan dasar gaji minimum.
Apa solusi kerajaan dalam hal ini? Jika pengusaha IPP (Pembekal Kuasa Bebas) boleh diberi subsidi sekitar RM2 bilion setahun, mengapa pengusaha kenderaan awam tidak dibekalkan subsidi yang lebih banyak bagi memastikan harga tiket kenderaan awam tidak dinaikkan untuk menampung kos? Malah alat ganti dan minyak pelincir untuk pengusaha kenderaan awam juga patut diletakkan di bawah barang kawalan bagi memastikan harganya sentiasa terkawal.
Jika tiada solusi yang menyeluruh, maka rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga tiket kenderaan awam atas alasan untuk menampung kos operasi. - DCM
P/s: TM terbayang-bayang akan langkah penyelesaian yang diambil oleh PR jika mereka menguasai Putrajaya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar