Senin, 24 Juni 2013

Silvio Berlusconi Didapati Bersalah Langgan Pelacur Bawah Umur & Salah Guna Kuasa



Selepas lebih 26 bulan dan 50 perbicaraan di mahkamah, akhirnya bekas Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi didapati bersalah melanggan pelacur bawah umur dan menyalahgunakan kuasanya untuk melindungi perbuatan tersebut. Mahkamah memutuskan bekas PM Itali itu dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan diharamkan memegang jawatan awam seumur hidup.

 Beliau masih boleh mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijalankan dan proses ini dijangka akan mengambil masa beberapa bulan.

Berlusconi dituduh mengupah seorang remaja keturunan Maghribi untuk mendapatkan khidmat seks dan kemudian cuba menyembunyikannya dengan membuat panggilan kepada polis Milan apabila remaja terbabit ditangkap kerana mencuri.

Berlusconi dan remaja itu sebelum ini menafikan mereka mengadakan hubungan seks. Pendakwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Berlusconi, selain mengharamkan dia menyertai politik seumur hidup.

Pendedahan skandal itu menyebabkan kerjaya politik Berlusconi berakhir selepas dua dekad. Ketika ini Berlusconi tidak memegang sebarang jawatan rasmi tetapi tetap menjadi tokoh berpengaruh dalam gabungan beberapa parti yang membentuk kerajaan Itali.

Berlusconi didakwa menganjurkan pesta “bunga bunga” di kediaman mewahnya di Milan dengan menjemput sejumlah wanita, termasuk Karima el-Mahrouh atau lebih dikenal sebagai Ruby.

Bagaimanapun, sepanjang perbicaraan berlangsung Berlusconi atau Karima tidak dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah. Karima, kini 20 tahun, mendakwa dia mengunjungi rumah mewah Berlusconi dan diberi sampul surat berisi wang bernilai 3,000 euro (RM12,645). - DCM/AP/Guardian

Berita lanjut tentang hal ini di sini.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar