Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ditahan oleh polis hari ini di Pandan.
[TMI] Menurut Husam, beliau percaya penahanannya bertujuan untuk menghalang beliau menghadiri perhimpunan bagi membantah dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013.
“Saya ditahan di Pandan tadi lebih kurang jam 4.00 petang. Sekarang ini saya berada di IPD Ampang,” kata Husam apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
“Saya diberitahu oleh polis, mereka menahan saya kerana pihak polis Kelantan mahu saya ditahan. Tapi saya berada di Kelantan sejak tiga hari lalu takde pula yang menahan saya,” tambahnya.
Baru-baru ini, Husam mengeluarkan kenyataan menggesa penyokong dan ahli PAS untuk menyokong perhimpunan Black 505.
"Andai kata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah," kata Husam disiarkan pada 18 Mei oleh Harakahdaily.
Husam dibawa ke IPD Pengkalan Chepa
[HD] KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Husam Musa yang ditahan di Balai Polis Ampang petang tadi, kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Chepa, Kelantan.
Menurut maklumat yang diterima Harakahdaily, Adun Salor itu dibawa dengan kereta proton Waja polis kira-kira jam 6 petang tadi.
Beliau dijangka tiba di IPD Pengkalan Chepa lewat malam ini.
Difahamkan waran tangkap terhadap Husam dikeluarkan polis Kelantan pada 20 Jun lalu.
Terdahulu, kira-kira jam 4 petang tadi Husam melalui khidmat pesanan ringkas SMS memaklumkan bahawa beliau ditahan di Desa Pandan ketika sedang dalam perjalanan menuju ke Himpunan Aman Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Beliau memaklumkan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Ia dipercayai ada kaitan dengan kenyataannya mengenai ‘syahid fi sabilillah’ berhubung penyertaan pada himpunan aman Black 505 di Padang Merbok hari ini.
Dalam perkembangan lain, penyokong Pakatan Rakyat akan berkumpul di IPD Pengkalan Chepa bermula jam 11:00 malam ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar