Senin, 01 Juli 2013

Gadis Diculik, Disamun, & Dirogol



[HM] Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 24 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia diculik dua lelaki sebelum disamun sebanyak RM500, kelmarin.

Lebih malang, mangsa kemudian dibawa ke sebuah hotel murah di Batu Caves, di sini, sebelum dirogol seorang daripada suspek dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Menurut sumber, mangsa diculik dua lelaki berusia lewat 20-an itu ketika sedang menunggu bas di Taman Wahyu, di sini, untuk pulang ke rumahnya selepas bekerja.

Beliau berkata, mangsa yang sedang menunggu bas sendirian mendakwa didatangi dua lelaki menaiki sebuah kereta berwarna gelap.

“Seorang daripada suspek menghampirinya sebelum mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan. Keengganan mangsa menyebabkan suspek mengugut untuk membunuhnya.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur dan masuk ke dalam kereta itu. Suspek kemudian meletakkan parang di leher mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan wang tunai,” katanya.

Sumber itu berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang tunai, dua penjenayah terbabit merampas kad mesin pengeluaran automatik (ATM) milik mangsa sebelum melakukan pengeluaran sebanyak RM500 di sebuah bank berhampiran.

“Penderitaan mangsa berterusan apabila dia kemudian dibawa ke sebuah bilik hotel di Batu Caves. Di hotel itu, mangsa dipukul sebelum dirogol seorang daripada suspek,” katanya.


P/s: Untuk rekod, Malaysia dinobatkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara sebelum ini. 



Tidak ada komentar:

Posting Komentar